Isnin, 11 September 2023 | 1:34pm
(Gambar fail) Ahli MKT UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
(Gambar fail) Ahli MKT UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

'Analisis mudah... PH tetap perlukan UMNO untuk menang PRK Parlimen Pulai'

JOHOR BAHRU: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata hasil analisisnya mendapati kira-kira 10,000 pengundi Melayu yang juga akar umbi parti itu mengundi calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Sabtu lalu.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, ia membuktikan penyokong tegar UMNO kini mula menerima kerjasama Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan.

Selain itu, katanya, ia turut membuktikan kerja keras UMNO Bahagian Pulai untuk memujuk akar umbinya sudah mula menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

"Daripada jumlah 48,823 undi diterima calon PH di Parlimen Pulai, berdasarkan analisis mudah, kira-kira 10,000 undi itu datang daripada pengundi Melayu, khususnya ahli akar umbi UMNO.

"Angka itu menunjukkan gerak kerja jentera UMNO Pulai akhirnya berjaya memberi penerangan dan pencerahan serta sedikit sebanyak mampu memberi keyakinan kepada pengundi Melayu mengenai kerjasama politik BN-PH dalam Kerajaan Perpaduan.

"Macam yang saya cakap pada awal-awal kempen, ada segelintir orang UMNO masih ragu-ragu terhadap keputusan UMNO bekerjasama dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan, kerana mereka belum mendapat gambaran sebenar kerajaan campuran itu.

"Saya sebagai Ketua UMNO Bahagian Pulai berjanji untuk 'pujuk' orang UMNO menyokong calon PH dan akhirnya berkat kerja keras pucuk pimpinan bahagian dan cawangan UMNO Pulai, kita berjaya memberi sedikit keyakinan serta membuka mata ahli akar umbi tentang perlunya kerjasama BN-PH demi kelangsungan politik UMNO. Itu adalah satu isyarat bahawa akar umbi UMNO masih wala' atau setia kepada aspirasi kepimpinan bahagian dan cawangan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dua calon PH, Suhaizan Kayat serta Nazri Abdul Rahman, masing-masing memenangi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada PRK, Sabtu lalu.

Suhaizan yang juga bekas Speaker DUN Johor memperoleh 48,283 undi untuk menewaskan Zulkifli Jaafar daripada PN yang memperoleh 29,642 undi dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi (528).

Mengulas lanjut, Nur Jazlan yang juga Timbalan Speaker Dewan Negara menjelaskan mengikut analisis dibuatnya di 40 peti undi di Parlimen Pulai, biarpun calon PH hanya meraih kira-kira 10,000 undi daripada pengundi Melayu dan UMNO, angka itu tetap signifikan.

"Undi Melayu sebanyak 10,000 yang diterima PH di Parlimen Pulai adalah pengundi yang nyata, 'solid' dan memang berpihak kepada UMNO Pulai sejak Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

"Pada PRU15, saya mendapat 30,000 undi. Jadi kalau mengikut matematik mudah, 10,000 pengundi adalah 'hardcore' UMNO, 9,000 pengundi Melayu UMNO pergi Perikatan Nasional (PN), dan baki 10,000 lebih Melayu lagi yang tidak keluar mengundi adalah mereka yang tidak mahu mengundi PH mahupun PN.

"Sebanyak 10,000 undi Melayu yang Suhaizan terima, kelmarin, membabitkan peti undi di DUN Perling dan Kempas yang majoritinya datang daripada ahli UMNO Pulai. Mereka tetap setia dan mengikut kemahuan pucuk pimpinan UMNO Pulai untuk memberi sokongan kepada Suhaizan," katanya.

Nur Jazlan berkata, angka undi Melayu pada PRK Parlimen Pulai itu memberikan petunjuk lebih jelas berhubung kedudukan sokongan orang Melayu kepada calon PH.

"Maknanya, PH tetap perlukan UMNO untuk menang PRK itu kerana jika keadaan sebaliknya dalam situasi berlainan... kalau undi Melayu sebelah BN itu dicampurkan dengan undi keseluruhan diterima PN, mungkin calon PH akan kalah.

"Bagi saya, jumlah undi itu juga menunjukkan orang Melayu, terutama di Pulai, masih ada kesedaran untuk cuba mengimbangi pengaruh pihak lain yang mahu mendominasi landskap politik di Pulai.

"Mereka tidak mahu corak pengundi bandar yang kebanyakannya berlandaskan politik emosi, merentangi arus politik rasional yang lebih mengutamakan kebajikan, pembangunan dan kemakmuran di Pulai," katanya.

Berita Harian X