Ahad, 10 September 2023 | 8:24pm
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (tengah), bersama Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sutekno Ahmad Belon bergambar bersama penerima anugerah pada program AADK Bersama Masyarakat di pekarangan IWK Eco Park. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (tengah), bersama Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sutekno Ahmad Belon bergambar bersama penerima anugerah pada program AADK Bersama Masyarakat di pekarangan IWK Eco Park. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Penagih tak dikurung, bebas jalani kehidupan ketika rawatan - AADK

KUALA LUMPUR: Penagih dadah yang menjalani rawatan penagihan dadah di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dilayan sebagai pesakit dan bukan sebagai pesalah yang perlu dikurung.

Ketua Pengarah (AADK, Sutekno Ahmad Belon, berkata sebanyak 90 peratus penagih dadah yang menjalani rawatan bersama AADK mengikuti program pemulihan dalam komuniti yang mana program itu membenarkan mereka bergerak bebas.

"Mereka boleh menjalani kehidupan seharian seperti biasa termasuk bekerja, mereka bebas bergerak ke mana sahaja di dalam daerah yang dikhususkan, dan perlu hadir mengikuti program-program yang kita jadualkan mengikut tempoh yang ditetapkan.

"Maka tiada istilah kita kurung mereka dan sebagainya. Bagaimanapun, mereka yang berada dalam institusi (Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik atau PUSPEN), adalah dalam kalangan penagih yang mempunyai tahap kebergantungan dadah yang tinggi.

"Justeru kita perlu rawat mereka untuk stabilkan keadaan dan selepas selesai (stabil), mereka boleh bergerak bebas untuk menjalani aktiviti sama ada di dalam PUSPEN atau diluar PUSPEN," katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Hari AADK Bersama Masyarakat di IWK Eco Park di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Sutekno berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa bahawa penagihan dadah adalah sejenis 'penyakit kronik' yang perlu ditangani melalui rawatan dan pemulihan bukannya menerusi kaedah tahanan atau pemenjaraan, baru-baru ini.

Mengenai program hari ini, Sutekno dalam ucapannya berkata ia satu inisiatif mempromosi serta menyampaikan perkhidmatan AADK kepada masyarakat di samping meningkatkan kesedaran pelbagai lapisan masyarakat mengenai peranan komuniti untuk bersama-sama kerajaan dalam usaha memerangi dadah secara menyeluruh.

"Program ini juga bertujuan menggembleng kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, pihak industri, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat dalam usaha pencegahan dadah secara holistik.

"Usaha menggerakkan kempen pencegahan dadah harus disokong secara bersepadu yang melibatkan tanggungjawab dan kerjasama semua pihak." katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan program seperti ini dapat merakyatkan perkhidmatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) amnya dan AADK khususnya yang membabitkan kluster keselamatan untuk disampaikan kepada masyarakat.

Berita Harian X