Ahad, 10 September 2023 | 5:59pm
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Foto fail NSTP/Aswadi Alias
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Foto fail NSTP/Aswadi Alias

Syed Saddiq bakal tinggalkan blok kerusi penyokong kerajaan di Parlimen

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijangka menarik balik sokongan terhadap kerajaan di Dewan Rakyat esok dan mengumumkan perkara itu dalam sesi 'Townhall' di saluran TikToknya, malam ini.

Menurut sumber Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), perkara itu difahamkan ada dibincangkan dalam kepemimpinan tertinggi parti itu pagi tadi.

Katanya, beliau tidak mengetahui secara terperinci mengenai perkara itu, namun ada mendengar maklumat itu yang disampaikan secara tidak rasmi.

"Saya tidak terbabit dalam mesyuarat barisan kepemimpinan tertinggi, namun dikatakan Yang Berhormat Syed Saddiq akan buat pengumuman dalam Townhall, malam ini," katanya kepada BH.

Selasa lalu, Syed Saddiq yang juga Presiden MUDA menyatakan parti itu tidak akan teragak-agak untuk menilai semula kedudukannya dalam menyokong Kerajaan Perpaduan jika tiga tuntutan parti itu terhadap perkembangan kes membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak diambil tindakan susulan oleh kerajaan.

Syed Saddiq dilaporkan berkata, MUDA menganggap keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri terhadap kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram adalah suatu perlanggaran terbesar terhadap garisan merah institusi kehakiman negara.

Difahamkan, langkah menarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan tidak akan menyebabkan Syed Saddiq menyertai Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Muar itu dilaporkan akan menjadi kuasa ketiga di Parlimen.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Syed Saddiq memenangi kerusi Parlimen Muar menggunakan logo Pakatan Harapan (PH).

MUDA ketika ini hanya mempunyai dua wakil rakyat, selain Syed Saddiq menjadi satu-satunya wakil parti itu di Parlimen, seorang lagi wakilnya adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz.

Berita Harian X