Ahad, 10 September 2023 | 3:19pm
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah berkenan bertitah pada Pesta Keramaian bersama rakyat sempena Kembara Kenali Borneo di Pantai Bungai Bekenu hari ini. - Foto BERNAMA
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah berkenan bertitah pada Pesta Keramaian bersama rakyat sempena Kembara Kenali Borneo di Pantai Bungai Bekenu hari ini. - Foto BERNAMA

Agong mahu rakyat hidup harmoni, bersatu hati

MIRI: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, meminta rakyat menjalani kehidupan secara harmoni dan bersatu hati antara satu sama lain.

Baginda juga meminta rakyat menyokong kerajaan sedia ada bagi memastikan pembangunan dan kemajuan negeri dapat dijalankan dengan baik.

"Duduk baik-baik, aman damai dan harmoni semuanya. Kena sokong kerajaan atas (pentas) ini, senang hendak buat pembangunan dan kemajuan.

"Saya tak mahu cakap politik. Saya hanya mahu cakap mengenai kasih sayang sahaja. Saya Agong untuk rakyat Sabah dan Sarawak serta semua. Jadi, perlu bersatu hati, bersatu padu," titah baginda sebelum berangkat meninggalkan Pesta Keramaian Bersama Rakyat di Pantai Bungai, Bekenu, di sini, sempena Kembara Kenali Borneo.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat pada pesta keramaian yang dianjurkan sempena Kembara Kenali Borneo yang memasuki hari kelapan, semalam.

Turut hadir, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Tengku Panglima Raja, Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan anakanda baginda,Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.

Al-Sultan Abdullah berkenan melihat ruang jualan kraftangan pada Pesta Keramaian bersama rakyat sempena Kembara Kenali Borneo di Pantai Bungai Bekenu hari ini. - Foto BERNAMA
Al-Sultan Abdullah berkenan melihat ruang jualan kraftangan pada Pesta Keramaian bersama rakyat sempena Kembara Kenali Borneo di Pantai Bungai Bekenu hari ini. - Foto BERNAMA

Tunku Azizah Aminah Maimunah berkenan mengayam tikar pada Pesta Keramaian bersama rakyat sempena Kembara Kenali Borneo di Pantai Bungai Bekenu hari ini. - Foto BERNAMA
Tunku Azizah Aminah Maimunah berkenan mengayam tikar pada Pesta Keramaian bersama rakyat sempena Kembara Kenali Borneo di Pantai Bungai Bekenu hari ini. - Foto BERNAMA

Al-Sultan Abdullah turut bertitah menzahirkan jutaan penghargaan kepada penduduk di Miri atas sambutan yang hebat bagi meraikan keberangkatan baginda bersama keluarga diraja sempena Kembara Kenali Borneo.

"Hari ini, suatu hari yang cukup besar buat kami sekeluarga. Satu peringatan yang tetap di hati kami sepanjang hayat. Insya-Allah. Saya juga meminta maaf jika saya tak dapat bersalaman dengan semua, tetapi lambaian pun sudah cukup.

"Jangan bersusah-payah hendak berebut untuk salam. Angkat tangan (lambai) sebagai tanda kita bersalaman, bila kita salam sebegini akan sampai ke hati. Agong sayang anda semua," titah baginda.

Pada pesta keramaian itu, senda gurauan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang beramah mesra menyertai permainan tradisional batu seremban dan congkak, mencuit hati hadirin pada pesta keramaian itu.

Baginda berdua meluangkan masa kira-kira 15 minit bermain permainan itu bersama penduduk setempat yang amat teruja dapat beramah mesra dengan pasangan diraja itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah berkenan bermain batu seremban ketika berangkat ke Pesta Keramaian bersama rakyat sempena Kembara Kenali Borneo di Pantai Bungai Bekenu hari ini. - Foto BERNAMA

Sementara itu, Mary Seman, 50, dari Kampung Tanau di sini, berkata beliau sangat teruja dan gembira selepas berpeluang bermain batu seremban bersama Al-Sultan Abdullah.

"Tuanku (Al-Sultan Abdullah) memang peramah, memang baguslah," katanya yang bersyukur dapat bertemu Seri Paduka berdua secara bersemuka buat kali pertama.

Hasyila Busri, 36, pula meluahkan kegembiraannya apabila Tunku Azizah meluangkan masa bermain congkak bersamanya

"Tuanku Permaisuri sangat ramah, baik hati dan mudah mesra bergaul dengan rakyat. Jadi kami memang sangat gembira dengan kedatangan Tuanku berdua," katanya. -- BERNAMA

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah berkenan menuruni kenderaan untuk singgah di sebuah gerai minuman di Tukau, Miri, Sarawak. - Foto FB/Istana Negara
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah berkenan menuruni kenderaan untuk singgah di sebuah gerai minuman di Tukau, Miri, Sarawak. - Foto FB/Istana Negara

Berita Harian X