MALAYSIA pernah mengalami kekacauan pada Mei 1969, disusuli situasi sama pada 1998, masing-masing kerana kekalutan politik akibat sentimen kaum dan agama, juga akibat gerakan reformasi disebabkan sengketa dua pemimpin utama negara.
Kebelakangan ini, isu agama dan kaum kembali kerap dimanipulasi sehingga tiga akhbar terbitan New Straits Times Press (NSTP) membuat teguran menerusi Sidang Pengarang, menggesa tindakan tegas diambil sebelum pihak yang kalah menjadi abu, yang menang pula menjadi arang.
Soalan (S): Apa punca pemimpin politik gemar sentuh isu kaum, agama dan Raja atau 3R?
Jawapan (J): Memang ada polemik kebelakangan ini mengenai hal itu. Ada yang kata kenapa tak boleh disentuh isu 3R sedangkan ini isu berkaitan kehidupan dan lingkungan. Ada pula orang kata, takkan nak sebut Melayu pun tak boleh, begitu juga berucap mengenai Islam pun dilarang. Sebenarnya, tak ada isu pun sepatutnya selagi ia berada pada kerangka yang betul. Bagi satu pihak pula, mereka kata ini tak boleh disentuh kerana boleh bawa kepada keadaan tak tenteram dan timbulkan kegusaran orang ramai.
Bagi saya, kata kunci dalam hal ini bukan soal 3R, tapi manipulasi. Isu berbangkit sekarang adalah penyalahgunaan. Kadang-kadang orang berbahas perkara ini, dia tak tahu 'kepala ekor'. Siapa kata tak boleh sentuh? Hal ini memang perlu dibincangkan. Jika nak didik masyarakat, perlu ditekankan, bukan tak boleh disentuh, tapi yang jadi masalah bila pihak tertentu manipulasi isu ini. Bila ada tujuan selain daripada itu (mendidik masyarakat), ini masalahnya. Dalam keadaan tertentu, wujud manipulasi yang akhirnya nak dapatkan laba politik.
Kalau kita lihat, misalnya dalam konteks kempen politik, ada yang secara jelas guna isu sedemikian untuk meningkatkan rasa takut, terancam, padahal negara kita dilindungi undang-undang dan Perlembagaan. Siapa langgar Perlembagaan, akan berdepan tindakan undang-undang. Maka, perbahasan di luar itu harus dalam kerangka perundangan. Maknanya, mana-mana rakyat melanggar peruntukan Perlembagaan, harus berdepan tindakan. Jangan gunakan 3R untuk bangkitkan kebencian, ini tidak patut dan menjadi punca timbul kekeliruan.
S: Bagaimana hendak bebaskan negara daripada isu 3R?
J: Perlu diberikan takrifan sebenar-benarnya mengenai apa yang boleh dan tidak boleh disebut dan sebagainya. Bila ada takrifan yang betul, maka ada undang-undang boleh diambil terhadap individu yang memanipulasi isu tertentu. Namun, undang-undang tak boleh selesaikan seluruh masalah, mungkin selesaikan sebahagian masalah sahaja. Mungkin ada pihak guna undang-undang untuk dapatkan 'mileage' (kelebihan). Maknanya, kalau kena tahan atau kena gari itu lagi bagus. Ada yang sengaja buat provokasi untuk diangkat sebagai juara atau tunjukkan konon dia dizalimi, sekali gus meraih simpati orang ramai.
Manipulasi dari segi ini wajar dilihat dan memerlukan kebijaksanaan untuk menanganinya. Situasi negara kita, kadangkala mahkamah politik lebih penting daripada mahkamah undang-undang. Jika ahli politik nak menang dalam politik, mereka lebih nak menang dalam mahkamah. Ada masa menang di mahkamah tak bermakna kerana dalam politik, dia tewas. Ini antara satu daripada masalah dalam politik kita.
S: Mengapa masih ada pemimpin politik langgar titah Raja supaya tidak sentuh isu 3R?
J: Ini masalahnya apabila pihak berkuasa tak lagi dihormati sedangkan wibawa institusi diraja dan perundangan mesti dipertahankan. Saya berpandangan ramai yakin Raja-Raja Melayu masih punya kedudukan untuk mengendurkan keadaan politik kucar-kacir. Yang di-Pertuan Agong sendiri membuktikan wibawa baginda ketika menangani siri konflik politik sebelum ini, misalnya ketika Parlimen berada dalam keadaan tergantung sebelum Kerajaan Perpaduan dibentuk.
Tak mudah untuk baginda menyelesaikannya, tapi ia berjaya dilalui dengan baik tanpa sebarang insiden tak diingini. Saya setuju dengan saranan Sidang Pengarang New Straits Times Press (NSTP) meminta institusi diraja memayungi proses damai ini. Baginda boleh memanggil ketua parti politik supaya dicadangkan satu genjatan politik. Seingat saya ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, perkara sama pernah dilakukan dengan membuat memorandum persefahaman dengan pembangkang.
Ketika itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri berjumpa Ismail Sabri bagi tujuan berkenaan, ini memerlukan jiwa besar. Mahu atau tidak mahu untuk lakukannya demi negara, demi rakyat. Itulah ujian kematangan ahli politik kita, sejauh mana mereka faham demokrasi dan letakkan kepentingan negara berbanding kepentingan parti masing-masing.
S: Bukankah sukar untuk satukan semua pemimpin parti politik untuk selesaikan kekalutan?
J: Ya, nak lakukan perubahan memang tak mudah. Macam sekarang, semua masalah terletak atas bahu Perdana Menteri, termasuk kes dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Anwar kata dia tak campur, tetapi masih ada yang tak percaya. Bagi saya, jika Anwar campur tangan, sebagaimana dikatakan dilakukan pemimpin kerajaan terdahulu, lebih baik dia campur tangan dalam kes mahkamah musuh politiknya seperti kes Tan Sri Muhyiddin Yassin, tapi dia tak berbuat demikian. Dia ambil pendirian, jika kes digugurkan, maka gugurlah.
Anwar turut menunjukkan 'gesture' seperti tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri untuk memberi keyakinan kepada rakyat, tetapi sukar untuk orang percaya disebabkan budaya politik kita memang begitu sejak 60 tahun lalu. Ada kemungkinan dia jadi mangsa keadaan disebabkan budaya ini. Sama ada dia berjaya atau tidak melakukan reformasi politik, hanya masa akan menentukan.
S: Sikap taasub penyokong parti politik turut menyumbang kepada perpecahan masyarakat?
J: Bagi saya, perkara utama perlu kita perangi adalah kejahilan kerana ia menyebabkan kita menjadi bangsa yang gagal berfikir dan menilai secara rasional sesuatu perkara. Dalam masyarakat, ramai berfikiran sebegini, mereka tak bersedia untuk 'tabayyun', cuba dapatkan maklumat tepat, benar dan guna pakai pendirian dalam keadaan dia sendiri tak tahu mengenainya.
Situasi ini memudahkan kerja orang politik yang 'menikmati kejahilan orang lain'. Soal jahil politik tak tertakluk pada tahap pendidikan, ada belajar tinggi tapi masih rendah literasi politiknya, tertipu dengan helah politik. Dalam sejarah politik lima tahun kebelakangan, kita lihat paling banyak kes saman fitnah babit orang politik. Bila mereka bercakap, main lepas sahaja, akhirnya apabila kes dibawa ke mahkamah, mereka kalah kerana tak ada apa boleh dipertahankan. Mereka hanya serkap jarang untuk naikkan emosi orang yang mendengar.
S: Pandangan Prof terhadap syor Sidang Pengarang NSTP supaya parti komponen Kerajaan Perpaduan dan pembangkang duduk semeja mencari sepakat?
J: Saya fikir ini antara perkara amat baik untuk dicadangkan. Selain membabitkan institusi diraja sebagai orang tengah, kalau perlu, institusi mufti, contohnya yang berwibawa dalam agama boleh dibabitkan. Ia selari dengan kedudukan mufti sebagai penasihat kepada Raja dalam hal ehwal agama. Pada masa sama, agensi kerajaan menguatkuasakan undang-undang mestilah jalankan tugas dengan tegas.
Misalnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ambil tindakan tegas bagi penyebaran ucapan kebencian, hasutan dan yang timbulkan kegusaran. Tegas ini maknanya apabila tindakan diambil kepada pihak berkenaan, lama kelamaan, orang makin hormat undang-undang. Jika undang-undang ada, tapi tak dilaksanakan, ia hilang wibawa dan menyebabkan kesalahan sama terus berulang.
S: Cara terbaik untuk 'mengajar' mereka yang masih ghairah memainkan politik kotor?
J: Darah politik mengalir dalam diri menjadikan hidup mereka berkait dengan perkara itu. Apa yang paling dibimbangi sekarang adalah kita amal sistem demokrasi, tapi rakyat makin hilang kepercayaan terhadapnya. Ini sangat bahaya kerana sistem kenegaraan kita tak dapat selesaikan masalah yang semakin memburuk ini. Kita perlu letakkan wibawa sistem itu di tempat tinggi, maknanya proses demokrasi mesti diyakini orang ramai.
Kalau orang tak percaya demokrasi yang diamalkan sekarang, itu yang timbul persoalan mengapa mereka perlu mengundi. Ini mesti disedari ahli politik kita, jangan sampai orang hilang percaya. Jika berlaku, tak ada siapa untung. Negara kita akan berada dalam kucar-kacir kerana orang tak percaya sistem, tak percaya lunas kenegaraan. Akhirnya, kerajaan jadi tak ada wibawa langsung dan tak dihormati.
Kebelakangan ini, kita lihat ramai ahli politik berpolitik sepanjang masa. Maka, yang boleh mendidik mereka adalah rakyat. Rakyat memilih pemimpin mereka, bila tak menang dalam pilihan raya, maknanya itulah didikan daripada masyarakat, cara berpolitik sedemikian tak diterima.
'Lihat semula terjemahan Malaysia sebagai negara dalam Perlembagaan'
Soalan (S): Pandangan mengenai situasi politik negara ketika ini yang dilihat makin berpecah?
Jawapan (J): Pertama, pertelagahan politik hari ini disebabkan perkembangan teknologi semasa yang membolehkan apa yang diperkatakan sesiapa pun dapat didengar dan diketahui semua. Melalui media sosial, kita dapat tahu segala kecaman, caci maki dan apa sahaja yang diperkatakan banyak pihak. Senario politik dahulu, ini tak berlaku kerana orang politik bercakap dalam lingkungan mereka sahaja, sama ada pada peringkat kepemimpinan atau akar umbi, kemudian tidak dipetik media dan seumpamanya.
Sekarang, ada pelbagai platform media sosial, kadangkala pemimpin cakap secara spontan, tapi apa yang terkeluar itulah yang terus sampai kepada semua. Semua ini berbalik kepada perkembangan teknologi itu sendiri. Bermakna medium untuk berpolitik makin meluas, menyebabkan politik yang saya panggil 'politik jalanan' menyampaikan apa sahaja dalam sekelip mata. Ini semakin buruk bila satu video, misalnya kempen seorang pemimpin itu mengutuk parti lain dikongsi dalam pelbagai medium sehingga timbul serangan balas berbentuk kecaman dan sebagainya.
S: Perkembangan politik makin tidak sihat, menyebabkan kecelaruan dan salah tafsir berpanjangan?
J: Bila kita kata politik sekarang makin teruk, tak ada adab dan melanggar tatasusila politik, inilah penangan perkembangan medium penyampaian politik itu. Jadi boleh dikatakan perkembangan medium politik hari ini menyebabkan timbul kecelaruan ini. Daripada kecelaruan ini, timbul pula rasa tak puas hati, sangsi, rasa dikhianati, takut. Misalnya, orang Melayu atau Cina saling bercakaran kerana bimbang mengenai hak mereka, timbul juga ketidakpercayaan kepada pemimpin.
Melalui pelbagai media baharu inilah timbulnya rasa tidak tenteram, menyebabkan bukan sahaja rakyat, tetapi pemimpin juga berasa terancam kerana timbul pelbagai tohmahan, cerita yang kadangkala kita sendiri tak pasti betul atau tidak. Ia jugalah menyebabkan timbul isu 3R kerana masing-masing hilang keyakinan daripada peringkat institusi tertinggi, pemimpin sehingga rakyat itu sendiri.
S: Pandangan Datuk terhadap syor memohon Raja Melayu memayungi proses damai, cadangan dimeterai memorandum persefahaman membabitkan semua parti politik?
J: Saya amat bersetuju dengan cadangan ini, malah ia selari dengan tujuan MDN ditubuhkan, untuk menyebarkan Islam dan membawa perpaduan ummah demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan negara. Marilah duduk semeja, saya berpandangan sama dengan Sidang Pengarang NSTP supaya kata sepakat dicari melalui memorandum persefahaman berdasarkan Perlembagaan.
Jangan buat perjanjian baharu, lihat semula Perlembagaan untuk menterjemahkan Malaysia sebagai sebuah negara. Semua parti duduk bersama dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai pengerusi, lihat semula adakah Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara dipatuhi. Lihat juga semua perkara diperuntukkan dalam Perlembagaan, misalnya Perkara 3 mengenai Islam sebagai agama Persekutuan, adakah ditegakkan?
Maka, hormatilah apa yang sudah termaktub Perlembagaan dan usah bising di luar dengan menyebut Malaysia sebagai negara sekular. Saya juga tak bersetuju bila ada parti melabelkan parti lain sebagai ekstremis agama, ini sangat tidak sihat. Hanya kerana agenda politik, muncul dakwaan sedemikian. Apa yang penting, semua perkara tertakluk dalam Perlembagaan seperti hak orang Melayu, Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak disentuh.
S: Apa akibat jika parti politik terus bertelagah, isu agama dan negara bangsa terus dijadikan bahan pertikaian?
J: Ini bukan perkara yang boleh dibuat main. Jika ada pihak atau kaum rasa terancam, boleh jadi pergaduhan besar, bukan sahaja konflik antara kaum, tetapi intra, iaitu sesama Melayu atau Cina dan India bergaduh dalam kelompok masing-masing. Kalau pemimpin politik benar-benar ikhlas, peganglah kepada janji untuk mematuhi Perlembagaan. Perlembagaan adalah undang-undang asas menentukan apa itu negara Malaysia, tak boleh lari dari situ sebab ia dipersetujui semua kaum ketika negara mencapai kemerdekaan.
Sama juga macam Islam, kita ikut Piagam Madinah. Tentu ada sahaja pihak cuba mencabuli undang-undang ini, maka yang mengkhianatinya adalah satu kesalahan. Kita terlepas pandang banyak perkara dalam Perlembagaan kerana sikap mementingkan diri, bukan pentingkan rakyat dan negara. Bila berkuasa, kita sewenang-wenangnya memberikan apa yang tidak sepatutnya dilakukan. Disebabkan itu, perlu kembali kepada jalan betul.
Misalnya sebagai orang Islam, baliklah semula kepada ajaran al-Quran dan sunnah, inilah yang perlu dilakukan. Kami di MDN sangat prihatin kepada sebuah negara bangsa yang mempunyai ummah bersatu padu supaya dapat mewujudkan sebuah negara bangsa yang aman damai. Kita hormati undang-undang yang ada, berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah, percaya kepada pemimpin negara yang perlu dihormati dan pihak yang bertanggungjawab laksanakan undang-undang tertinggi negara sedia ada.