Sabtu, 9 September 2023 | 7:49am
Situasi kekurangan beras putih tempatan ketika ini memberi gambaran seolah-olah berlaku skandal manipulasi pasaran. - Foto hiasan
Situasi kekurangan beras putih tempatan ketika ini memberi gambaran seolah-olah berlaku skandal manipulasi pasaran. - Foto hiasan

KPKM perlu bertindak serius tangani kekurangan beras tempatan

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu bertindak lebih serius dan peka terhadap isu kekurangan beras putih tempatan yang berlaku ketika harga runcit beras putih import naik.

Pengerusi Jawatankuasa Portfolio Pertanian Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, mendakwa situasi kekurangan beras putih tempatan ketika ini memberi gambaran seolah-olah berlaku skandal manipulasi pasaran.

Katanya, amat menghairankan keadaan itu berlaku apabila harga beras putih import naik hingga RM3.90 sekilogram, berbanding harga kawalan runcit beras putih tempatan yang lebih rendah iaitu RM2.60 sekilogram, jika tiada sebarang unsur manipulasi.

Berikutan itu, beliau menggesa KPKM supaya menghentikan sindrom penafian berhubung skandal manipulasi pemasaran beras putih tempatan, sebaliknya lebih serius dalam usaha menangani kekurangan bahan makanan itu.

"Perbezaan harga yang ketara di antara beras putih tempatan dan beras putih import pastinya menjadi salah satu faktor pendorong kepada skandal manipulasi untuk terus berlaku," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu berkata, negara secara konsisten berjaya mengeluarkan beras tempatan hingga mencapai 65 peratus tahap sara diri (SSL) manakala hanya 35 peratus beras yang diimport.

Katanya, sebahagian besar daripada beras yang diimport itu adalah beras wangi dan beras istimewa, berbanding beras putih biasa.

"Persoalannya di mana perginya beras putih tempatan yang secara tiba-tiba berkurangan secara ketara ketika ini? Apakah jaminan kementerian bahawa kekurangan ini tiada kaitan dengan kenaikan harga runcit beras import?

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee

"Tindakan menteri bertanggungjawab dan kementerian sekadar mengeluarkan kenyataan penafian bahawa tiada manipulasi beras tempatan dijual sebagai beras import amat tidak memadai," katanya.

Justeru, katanya, KPKM perlu lebih proaktif memastikan pengguna tidak ditindas pihak bertanggungjawab yang ingin meraih keuntungan dengan memanipulasi beras tempatan sebagai beras import.

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran turut menyifatkan tindakan mengehadkan pembelian 100 kilogram bagi setiap individu yang diumumkan KPKM semalam seperti melepaskan batuk di tangga.

Beliau berkata, ia tidak menampakkan kesungguhan dan keprihatinan kerajaan kerana pengumuman seperti itu tidak memberi kesan jika tidak disusuli dengan tindakan penguatkuasaan yang berkesan.

Katanya, kerajaan membelanjakan lebih RM1.8 billion setahun melalui pelbagai subsidi untuk memastikan rakyat negara ini menikmati beras putih tempatan dengan harga RM2.60 sekilogram.

Berita Harian X