Jumaat, 8 September 2023 | 6:01pm
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar pada sidang media selepas meninjau premis tiga sektor membabitkan kedai gunting rambut, tekstil dan kedai emas sekitar Little India, Jalan Tengku Kelana, Klang, baru-baru ini. NSTP/Faiz Anuar
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar pada sidang media selepas meninjau premis tiga sektor membabitkan kedai gunting rambut, tekstil dan kedai emas sekitar Little India, Jalan Tengku Kelana, Klang, baru-baru ini. NSTP/Faiz Anuar

Kerajaan buka 7,500 kuota tukang gunting rambut, pekerja tekstil dan tukang emas

Kuala Lumpur: Jemaah Menteri, hari ini, bersetuju membuka sebanyak 7,500 kuota bagi pengambilan subsektor perkhidmatan tukang gunting rambut, pekerja tekstil dan tukang emas.

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Isnin lalu, untuk membuka semula pengambilan pekerja asing bagi tiga subsektor perkhidmatan itu yang sebelum ini dibekukan sejak tahun 2009.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata susulan itu, kementeriannya bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperhalusi mekanisme yang bersesuaian bagi tujuan pelaksanaan proses berkenaan.

Beliau berkata, mekanisme itu penting berikutan kerajaan pada masa ini sudah menghentikan permohonan dan kelulusan kuota pekerja asing.

"Hari ini Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan KDN sudah membentangkan Memorandum Jemaah Menteri berkaitan dengan beberapa keputusan mesyuarat bersama dua kementerian yang diadakan pada 27 Jun lalu termasuk pembukaan tiga subsektor ini.

"Namun saya ingin memaklumkan bahawa pembukaan semula ini tidak bersifat menyeluruh dan akan berlandaskan kepada keperluan sebenar subsektor tukang gunting rambut, tekstil dan tukang emas.

"Justeru, sebanyak 7,500 kuota dibuka bagi pengambilan subsektor perkhidmatan tukang gunting rambut, pekerja tekstil dan tukang emas, berdasarkan keputusan Jemaah Menteri hari ini," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

berkata, mekanisme yang dibangunkan akan menitikberatkan berhubung permohonan yang perlu tertakluk kepada perincian kuota yang ditetapkan mengikut tiga subsektor.

Selain itu, katanya, KPDN selaku agensi kawal selia perlu menyelaras perincian kuota terbabit dengan pihak industri bagi tujuan permohonan pekerja asing berdasarkan mekanisme yang akan ditetapkan.

"Permohonan pekerja asing jug akan mengikut prosedur sedia ada dari segi saringan majikan mengikut Seksyen 60K Akta Kerja 1955 dan verifikasi untuk kelulusan kuota termasuk melalui proses temu duga bersama KPDN," katanya.

Beliau berkata, langkah pembukaan semula tiga subsektor itu berupaya menghentikan kecenderungan majikan menggajikan warganegara asing tanpa dokumen pekerjaan yang sah.

Katanya, kecenderungan itu sekali gus berpotensi besar untuk menyebabkan berlakunya eksploitasi dan amalan buruh paksa.

"Saya yakin pengumuman ini akan membantu pengusaha masyarakat India yang terkesan selama ini akibat kesukaran mendapatkan pekerja tempatan sehingga menjejaskan kelangsungan operasi perniagaan serta berhadapan risiko menutup perniagaan mereka," katanya.

Berita Harian X