Jumaat, 8 September 2023 | 8:32am

Ganti politik kebencian dengan persaingan profesional antara parti

SAYA merakamkan setinggi-tinggi sanjungan atas kebijaksanaan dan ikhtiar Sidang Pengarang BH, New Straits Times (NST) dan Harian Metro (HM) untuk menyeru kepada penamatan kekarutan politik dan penyalahgunaan agama dalam politik.

Dunia hari ini berada dalam era pergolakan, ketidakpastian, kekompleksan dan kekaburan (VUCA). Era ini penuh dengan bahaya, tetapi juga dengan peluang. Ia kejam sekali untuk masyarakat dan individu tidak tersedia, tetapi boleh juga bermurah hati kepada mereka bersedia.

Sebagai contoh, apabila persaingan geopolitik China dan Amerika Syarikat (AS) bukan saja boleh menyumbang kepada kemurungan ekonomi, ia menyebabkan penjajaran baharu rantaian bekalan, modal asing (termasuk modal China sendiri) keluar dari China dan mencari destinasi baharu.

Ini seolah-olah penghijrahan keluar modal Jepun selepas Perjanjian Plaza pada 1985 yang meningkatkan nilai yen.

Dalam penyusunan semula order ekonomi dunia ini, tiada negara dapat kekal dalam kedudukan sama. Sama ada mereka maju ke depan ataupun ketinggalan di belakang. Di Asia Tenggara, jika Malaysia gagal menggenggam peluang ini, kita mungkin jatuh ke belakang Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina yang sedang giat mengejar kita.

Krisis alam sekitar kerana pemanasan sejagat dan pemusnahan kepelbagaian bio lagi berbahaya. Tidak lagi terhad kepada negeri tertentu dalam bulan tertentu, banjir kilat boleh melanda mana-mana bahagian di negara ini bila-bila masa saja. Pada masa sama, kita juga mula diserang gelombang haba.

Malangnya, krisis ini tidak menjadi isu panas dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), Ogos lepas atau dua pilihan raya kecil (PRK) di Johor esok yang sudah dinaiktarafkan menjadi medan politik kebangsaan.

Kalau krisis itu bagaikan musuh, maka parti politik meminta mandat rakyat tidakpun menonjolkan kemahiran mereka mematahkan serangan musuh. Sebaliknya, pilihan raya menjadi medan persaingan atas isu identiti seperti kaum, agama dan bahasa, seolah-olah Malaysia itu satu planet sendiri yang terlindung daripada kejutan luar.

Laporan dalam BH Online.
Laporan dalam BH Online.

Sudahkah kita lupa, apabila virus COVID-19 dan banjir kilat melanda, bencana tidak membeza-bezakan kita atas warna kulit, iman atau pertuturan? Kalau setiap PRN dan PRK dijadikan alasan untuk menukar ganti kerajaan, siapa berani melabur di Malaysia? Tanpa adanya pelaburan, dari mana kita harapkan rezeki kita, sama ada daripada pendapatan atau bantuan kerajaan?

Masalah kita bukan sekadar perpecahan toksik berlandaskan identiti (kaum, agama dan bahasa), tetapi kekurangan insentif untuk ahli politik berlumba-lumba menawarkan penyelesaian. Sebahagian besar ahli politik kita bersaing atas keupayaan mereka memomokkan pengundi dengan mencari 'musuh dalaman' sebagai kambing hitam dan memberikan naungan serta imbuhan kepada penyokong mereka.

Jika punca masalah ini tidak diatasi, kekalutan politik akan berterusan sekalipun jika semua parti di Parlimen menyertai kerajaan dan setiap presiden parti menjadi menteri. Ketika itu, kekalutan cuma akan menjadi tersembunyi dengan pergelutan antara menteri di belakang tabir, dengan lebih banyak dana negara disalurkan untuk kroni dan penyokong.

Kita perlu gantikan politik kebencian dengan persaingan profesional antara parti supaya rakyat sentiasa menang tidak kira parti mana yang menang.

Syor tiga prinsip jadi muafakat masyarakat

Saya ingin mencadangkan tiga prinsip utama, yang moga-moga boleh jadi muafakat masyarakat dan dipersetujui dalam bentuk perjanjian pendamaian ala memorandum persefahaman (MOU) yang turut diserukan BH, NST and HM.

Pertama, tenangkan hati semua pihak dalam masyarakat bahawa tidak akan berlaku sebarang perubahan mendadak mengenai isu kaum, agama dan bahasa sepanjang penggal Parlimen ke-15. Ini punca kegelisahan dalam kalangan kedua-dua Melayu-Muslim dan komuniti lain di Semenanjung serta Borneo.

Bagi sebarang perubahan besar, biarlah kita bermusyawarah hingga mencapai muafakat. Tak kira besar dan kecil, kesan perubahan boleh melimpah kepada pihak lain. Maka, biarlah kita melihat semua adalah pemegang taruh dan berkomunikasi untuk mengelakkan kegelisahan serta membawa sokongan kepada perubahan.

Kedua, pupukkan semangat kesukanan olahragawan dalam persaingan politik supaya parti politik boleh bersikap adil sesama lain. Janganlah mana-mana parti mengaibkan atau membenci pemimpin dan penyokong parti lain, apatah lagi mengheret agama atau institusi Raja ke dalam gelanggang politik kepartian.

Semua pihak harus menerima keputusan pilihan raya dan pembentukan kerajaan serta layanan adil kepada pembangkang. Pembangkang jangan sentiasa ingin jatuhkan kerajaan. Ia harus mempunyai kesabaran dan keyakinan untuk memenangi kuasa pada pilihan raya baharu lima tahun kemudian.

Sebuah Akta Parlimen Berpenggal Tetap harus diluluskan untuk menetapkan lingkungan masa Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) pada awal 2028 kecuali kerajaan hilang keyakinan atau pemohonan pembubaran dipersetujui dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

Sementara itu, semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) harus diberi peruntukan saksama tanpa menganaktirikan pembangkang. Pendakwa raya juga harus dipisahkan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk hapuskan pendakwaan atau imuniti (pelepasan) terpilih.

Ketiga, galakkan persaingan dasar antara parti supaya parti tidak membezakan sesama lain dengan memainkan sentimen kaum, agama dan bahasa atau berebut memancing sokongan dengan imbuhan akhirnya merugikan kita semua.

Kabinet bayangan pembangkang perlu diiktiraf dengan sumber dan akses maklumat sewajarnya.

Reformasi Parlimen/DUN juga perlu untuk memberikan peranan bermakna kepada kedua-dua pembangkang dan juga wakil rakyat kerajaan barisan belakang atau backbenchers melalui jawatankuasa pilihan dan 'masa khas urusan bukan kerajaan'. Ini boleh diterajui Speaker Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Juga perlu ialah Akta Pendanaan Politik dengan peruntukan dana wang bagi semua parti berasaskan peratusan undi. Ini boleh mengelak dominasi gabungan terbesar yang mungkin memonopoli sumbangan korporat.

Diharap pandangan saya yang cetek ini dapat mengundang perbincangan untuk menjayakan ikhtiar mula BH, NST dan HM dalam mententeramkan dan mematangkan politik tanah air.

Limpahnya nikmat nusa bonda,
Dari gunung sampailah ke lautan,
Watan sama sekalipun parti beda,
Semua rugi kalau teruskan kekalutan.

Penulis adalah Timbalan Ketua (Strategi) Ibu Pejabat Asia, Jaringan Penyelesaian Pembangunan Lestari PBB (SDSN), Universiti Sunway


Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X