Khamis, 7 September 2023 | 6:32pm
Kerjasama strategik bersama Sunway Education Group menerusi 42 Malaysia (42MY) antara inisiatif bagi melahirkan lebih ramai individu berkemahiran pada masa depan.
Kerjasama strategik bersama Sunway Education Group menerusi 42 Malaysia (42MY) antara inisiatif bagi melahirkan lebih ramai individu berkemahiran pada masa depan.

Khazanah fokus usaha pacu inovasi, pertumbuhan ekonomi Malaysia

SEBAHAGIAN daripada tumpuan utama mandat Khazanah Nasional (Khazanah) adalah melaksanakan pelaburan strategik dengan matlamat, memajukan negara di samping inisiatif yang memacu daya saing ekonomi dan mengukuhkan daya tahan negara.

Antara inisiatif dimaksudkan adalah Dana Impak, juga kesinambungan pelaburan strategik Khazanah yang bermatlamat untuk memacu perubahan positif melalui usaha-usaha peningkatan tahap inovasi dan perniagaan di Malaysia, termasuk penghasilan nilai mampan untuk rakyat Malaysia.

Dana Impak adalah satu tonggak utama strategi Memajukan Malaysia (Advancing Malaysia) yang dilaksanakan oleh Khazanah, dengan peruntukan RM6 bilion untuk tempoh lima tahun.

Ia tertumpu kepada enam tema berdasarkan isu dan cabaran yang dihadapi negara iaitu Masyarakat Digital dan Hab Teknologi; Kesihatan Berkualiti, Pendidikan untuk semua; Pekerjaan Baik dan Mobiliti Sosial; Jaminan Makanan dan Tenaga; dan Membina Ketahanan Iklim dan Persaingan di Pasaran Global.

Dengan fokus terhadap mengukuhkan daya tahan negara dan membuka peluang pertumbuhan baharu, projek terkini bernilai RM500 juta telah dikenal pasti pada 2022 merangkumi bidang impak yang meluas.

Menurut Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, pendekatan pelaburan Khazanah masa kini bukan mengejar pulangan kewangan semata-mata tetapi turut mementingkan perubahan positif untuk negara dan rakyat, sekali gus mentakrif semula peranan modalnya dan cara ia meningkatkan tumpuan pelaburan (crowd-in investments).

"Future Malaysia Programme (FMP) di bawah Dana Impak adalah contoh keutamaan ini, yang dilaksanakan khusus untuk usahawan, syarikat pemula dan perniagaan tempatan bagi meningkatkan inovasi serta pertumbuhan ekonomi, dengan memacu kerjasama strategik dalam ekosistem pemula dan usaha niaga korporat, bagi memupuk perkongsian idea dan meningkatkan nilai perniagaan," katanya.

FMP dan inisiatif berkaitan yang dilancarkan adalah usaha signifikan bagi Khazanah dan Dana Impak khususnya, dalam meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia dan membina daya tahan negara.

Future Malaysia Programme

FMP dilancarkan pada Mac 2023 dengan penyaluran modal awal sejumlah RM180 juta, bermatlamat untuk menyokong ekosistem pemula tempatan yang terdiri daripada usahawan, syarikat pemula, modal teroka dan program usaha niaga korporat melalui kerjasama dengan rakan kongsi domestik dan antarabangsa.

Bersama rakan kongsi seperti Gobi Partners, 500 Global, Plug and Play, Petronas Ventures dan Antler, Khazanah bersedia untuk melengkapkan dan memangkin ekosistem pemula Malaysia.

FMP diperkembangkan lagi melalui jalinan kerjasama Khazanah bersama Antler, yang mencungkil dan memupuk bakat keusahawanan tempatan serta menyediakan akses kepada platform dan rangkaian global Antler.

Program penjanaan usaha teroka oleh Antler berupaya menangani jurang ekosistem pendanaan pemula Malaysia, terutamanya pelaburan pada peringkat terawal, dengan tumpuan memperkembangkan idea dan perniagaan Malaysia bagi mencapai daya saing global.

Jussi Salovaara, Pengasas Bersama dan Rakan Pengurusan Asia, Antler berkata, pendekatan kami yang unik sebagai pelabur 'Day Zero investor' menjadikan kami sebagai pelabur terawal bagi pengasas perniagaan memperoleh pembiayaan.

"Selain pembiayaan awal bermula pada AS$110,000, kami juga rakan kongsi modal jangka panjang yang menyediakan modal susulan dan akses kepada pelabur peringkat pertama (Tier-1) yang lain.

"Kami akan memperkasakan syarikat pemula Malaysia untuk membangun dan berkembang lebih pantas dengan sokongan komuniti pengasas dan penasihat global kami, serta menyediakan sokongan untuk berkembang di seluruh dunia," katanya.

Antler akan membuka pejabat baharunya di Kuala Lumpur pada Oktober dan melancarkan program pertama dengan matlamat untuk melabur dalam lebih 30 syarikat pemula di seluruh Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Untuk mengetahui lebih lanjut program ini dan bagi syarikat pemula yang berminat menghantar permohonan, lawatan www.antler.co/malaysia.

Secara keseluruhannya, FMP menawarkan sokongan menyeluruh sepanjang kitaran hayat pembiayaan syarikat pemula, daripada peringkat terawal sehingga peringkat pertumbuhan.

Future Malaysia Skills

Future Malaysia Skills (FMS) telah dilancarkan dengan peranan penting untuk membangunkan kumpulan bakat Malaysia dan merapatkan jurang besar antara bekalan dan permintaan kemahiran.

FMS adalah platform penjanaan bakat untuk memacu pembangunan bakat dan memperkukuhkan masa hadapan Malaysia dari segi keperluan kemahiran khusus, dengan memacu kemahiran berpermintaan dan akses kepada pekerjaan berkualiti tinggi, yang seterusnya memacu industri berdaya saing dan memudahkan lebih ramai juara tempatan merentas tema-tema tumpuan Dana Impak.

FMS juga menjadi pelengkap kepada inisiatif FMP melalui penjanaan saluran bakat yang diperlukan oleh ekosistem syarikat pemula dan usaha niaga korporat tempatan.

Salah satu inisiatif FMS adalah usaha sama Khazanah dengan Sunway Education Group bagi penubuhan 42 Malaysia (42MY), sebuah sekolah sains komputer antara rakan setara (peer-to-peer) yang inovatif, bertujuan untuk memacu pembangunan 10,000 bakat mahir teknologi dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Inisiatif ini menyediakan pelajar dengan peluang untuk melibatkan diri dalam projek pengekodan dan membangunkan kemahiran insaniah yang penting seperti kerjasama, komunikasi, penyelesaian masalah dan pemikiran kritis.

Selaras dengan rangka kerja Ekonomi MADANI yang diumumkan kerajaan, 42MY memperkasakan rakyat Malaysia melalui penyediaaan akses kepada pembelajaran percuma dan membuka peluang industri kepada individu berumur 18 tahun ke atas, tanpa mengira latar belakang pendidikan atau sosioekonomi.

Peserta program 42MY yang bertempat di kampus 42 Kuala Lumpur (42KL), Nur Almas, 20, berkata di 42KL mereka digalakkan untuk bertanya, saling tunjuk ajar dan bekerjasama meningkatkan pengetahuan.

"Kami juga diajar bahawa terdapat pelbagai jalan penyelesaian bagi sesuatu masalah dan proses percubaan serta kesilapan akan tetap berakhir dengan kejayaan," katanya.

Nur Almas berkata, dia meminati bidang keselamatan siber dan berharap untuk menceburi bidang itu sebagai penggodam beretika.

Pendekatan program yang inovatif dan boleh diperkembangkan ini menekankan pembelajaran berasaskan projek antara rakan setara dan praktikal yang mencerminkan situasi pekerjaan dunia sebenar, menyumbang kepada saluran bakat yang mampan untuk negara dalam jangka panjang.

Seorang lagi peserta 42KL, Pragathes Moorthy, 25, berkata, dia adalah pelajar jurusan sains komputer dan menyertai 42KL ketika pandemik dan keluarga mengalami masalah kewangan.

Pragathes berkata, perspektifnya terhadap pembelajaran dan pengekodan berkembang selepas menyertai program itu dan turut berbangga menjadi sebahagian daripada komuniti yang banyak memberikan impak kepada dirinya.

SEG dan Khazanah sedang mengorak langkah untuk mengembangkan 42MY di seluruh negara dengan perancangan untuk membuka kampus tambahan di negeri-negeri, antaranya termasuk melancarkan 42Penang dengan kerjasama kerajaan negeri Pulau Pinang dan Digital Penang.

Johor dan Sarawak adalah antara lokasi kampus 42MY seterusnya, seperti yang diumumkan pada awal tahun ini.

Ini membolehkan pelajar di seluruh negara mendapatkan akses kepada pendidikan berkualiti dan memupuk bakat teknologi yang mampu mendorong Malaysia menjadi peneraju ekonomi digital di rantau ini.

Pada masa sama Amirul berkata, pihaknya yakin bahawa 42MY akan memperkukuhkan lagi ekosistem pemula dan teknologi domestik dengan memupuk serta membangunkan bakat Malaysia yang melengkapi agenda pembangunan ekonomi digital negara dan mengukuhkan keupayaan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) negara.

Mereka yang berminat dalam bidang pengekodan atau sains komputer dijemput untuk menyertai program 42MY secara percuma. Layari www.42kl.edu.my untuk maklumat lanjut.

Keterjaminan Makanan

Satu lagi tema utama Dana Impak adalah keterjaminan makanan negara. Inisiatif yang dilaksanakan demi keterjaminan makanan termasuk tinjauan di lapangan terhadap 3,300 pekebun kecil di seluruh negara, bagi memahami cabaran yang dihadapi subsektor tanaman makanan,ternakan dan akuakultur di Malaysia.

Penemuan utama daripada tinjauan itu termasuk mengenal pasti tiga cabaran utama yang dihadapi pekebun kecil iaitu harga input tinggi, kesan perubahan iklim dan serangan makhluk perosak.

Tinjauan itu juga menemukan kesan sebenar cuaca ekstrem dan tidak menentu ke atas tanaman, ternakan dan sektor akuakultur termasuk kemusnahan tanaman, kitaran pengeluaran lebih lama dan kesan terhadap kehidupan pekebun kecil.

Bagi mencari penyelesaian cabaran yang dihadapi pekebun kecil, Khazanah baru-baru ini melancarkan edisi kedua Cabaran Impak Inovasi Khazanah (KIIC) 2023, yang bertemakan 'Menangani Cabaran Iklim demi Keterjaminan Makanan di Malaysia.'

Dilancarkan pada Julai 2023, inisiatif ini berhasrat untuk menarik syarikat pemula agrimakanan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang inovatif dan aktif dalam menangani permasalahan yang timbul daripada kesan perubahan iklim ke atas sektor agrimakanan.

Selain itu, sokongan akan diberikan kepada peserta terpilih bagi meningkatkan kesediaan dan pengetahuan mereka untuk mendapatkan pembiayaan, memacu perniagaan mereka ke peringkat pertumbuhan seterusnya.

Program itu juga bermatlamat mengukuhkan profil syarikat pemula agrimakanan dan PMKS yang berpangkalan di Malaysia, untuk mewujudkan nilai sosioekonomi untuk negara.

Finalis KIIC 2023 akan menerima anugerah dalam bentuk geran dan peluang untuk mengemukakan cadangan (pitch) bagi menarik potensi pelaburan ekuiti dan atau pembiayaan hutang daripada Khazanah dan rakan-rakan pendanaannya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai KIIC, layari www.khazanah.com.my/kiic/.

Digitalisasi PMKS

PolicyStreet melancarkan foodpanda Protect+ ciri perlindungan tambahan khas untuk rakan kongsi foodpanda antara insentif untuk meningkatkan kebolehcapaian insurans.

Satu aspek penting bagi Dana Impak adalah pengukuhan dan pemerkasaan PMKS tempatan, dengan tumpuan khusus terhadap pemacuan pendigitalan dan penambahbaikan akses kepada perkhidmatan perlu, termasuk pembiayaan dan perlindungan.

Pelaburan terkini yang mendapat perhatian adalah PolicyStreet, sebuah syarikat teknologi insurans (insurtech) tindanan penuh yang menyampaikan penyelesaian insurans digital dan sesuai kepada pengguna dan perniagaan.

PolicyStreet merancang untuk merapatkan jurang perlindungan di Malaysia dan meningkatkan kadar penembusan insurans negara, yang pada 5.3%, kini ketinggalan berbanding negara lain seperti Singapura (9.3%) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) (9.4%).

Selain itu, PolicyStreet menyasarkan perluasan perlindungan insurans bagi segmen yang kurang mendapat tumpuan perkhidmatan demi meningkatkan perlindungan kewangan, daya tahan isi rumah dan kesejahteraan kewangan keseluruhan.

PolicyStreet juga bermatlamat, memperkasakan perniagaan dan individu yang kurang mendapat tumpuan perkhidmatan insurans, melalui capaiannya yang menjangkau lebih setengah juta pekerja gig B40 dan 50,000 PMKS.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama PolicyStreet, Yen Ming Lee berkata, matlamat PolicyStreet adalah merapatkan jurang perlindungan insurans di Malaysia, melalui usaha sama dengan jenama terkemuka untuk menyediakan jangkauan lebih meluas.

"Pada masa sama, memperkenalkan kepelbagaian jenis insurans yang dapat memenuhi keperluan dan kemampuan berbeza, serta sentiasa meningkatkan keupayaan pembangunan platform teknologi kami untuk menyediakan pengalaman pelanggan yang lebih baik," katanya.

Selaras dengan komitmennya untuk meningkatkan kebolehcapaian insurans, PolicyStreet baru-baru ini melancarkan foodpanda Protect+, iaitu ciri perlindungan tambahan untuk rakan kongsi penghantaran foodpanda.

Berharga RM3 sebulan, ia salah satu insurans kemalangan paling berpatutan dan holistik di pasaran, menawarkan perlindungan 24 jam di seluruh dunia dan melindungi penunggang penghantaran walaupun ketika tidak bertugas.

Menurut PolicyStreet, perlindungan juga dilanjutkan kepada keluarga penunggang, merapatkan lagi jurang perlindungan.

Masa hadapan yang mampan

Amirul berkata, Khazanah akan terus kekal teguh dalam menyumbang kepada pembangunan negara dan memastikan masa hadapan yang mampan ke arah Memajukan Malaysia.

Beliau juga percaya, penglibatan segenap masyarakat penting dan harus menjadi teras kepada setiap inisiatif Dana Impak, bagi menjamin kejayaan dalam menyampaikan impak sosioekonomi kepada negara.

Berita Harian X