Khamis, 7 September 2023 | 5:42pm
Menteri Sains, Tekonlogi dan Inovasi , Chang Lih Kang berucap pada perasmian di Karnival Minggu Sains Negara 2023 Selangor dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Tengah di First City University College, Bandar Utama, hari ini. - Foto MOSTI
Menteri Sains, Tekonlogi dan Inovasi , Chang Lih Kang berucap pada perasmian di Karnival Minggu Sains Negara 2023 Selangor dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Tengah di First City University College, Bandar Utama, hari ini. - Foto MOSTI

Inisiatif pembangunan vaksin masih diteruskan - Lih Kang

PETALING JAYA: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menegaskan inisiatif pembangunan vaksin di negara ini akan diteruskan meskipun idea itu bukan datang daripada beliau.

Beliau secara peribadi menegaskan perkara itu penting memandangkan Malaysia perlu bersedia awal bagi berdepan dengan mana-mana pandemik selain mengambil pengajaran daripada COVID-19 yang melanda negara.

"Walaupun ini bukan insiatif yang saya usahakan, tetapi saya teruskan untuk negara kita.

"Apabila ada kapasiti vaksin manusia, kita tidak lagi bergantung kepada syarikat farmaseutikal dari luar negara untuk menghasilkan vaksin," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Karnival Minggu Sains Negara 2023 Selangor dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Tengah di First City University College, Bandar Utama, di sini.

Sebelum ini, media melaporkan satu memorandum persefahaman (MoU) dimeterai membabitkan tiga pihak di bawah Institut Bioteknologi Kebangsaan (NIBM) bagi meneroka potensi projek pembangunan ekosistem vaksin tempatan, demi kesiapsiagaan negara dalam menghadapi pandemik pada masa depan.

Pertukaran MoU itu membabitkan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI), MVP Healthcare Sdn Bhd dan Pfizer Malaysia Sdn Bhd.

Langkah itu juga selaras dengan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) di bawah Teras Penjagaan Kesihatan dan Kesejahteraan.

Dalam perkembangan sama, Lih Kang berkata, kementeriannya berusaha mencari rakan kongsi dari luar negara untuk menjayakan projek pembangunan vaksin manusia yang dijangka siap menjelang 2030.

Menerusi Institut Kesihatan Negara (NIH), MOSTI juga mencari beberapa rakan kongsi termasuk antarabangsa untuk membantu membangunkan kapasiti membangunkan vaksin manusia.

"Saya boleh kata setakat ini dalam 'progres' sebab bekerjasama dengan rakan kongsi dari luar negara bersama Dokumen Perjanjian Kerahsiaan (NDA)," katanya.

Berita Harian X