SEPANG: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini mengingatkan penjawat awam supaya ketirisan dan kelemahan tata kelola yang membabitkan kepentingan negara tidak disembunyikan 'bawah karpet'.
Beliau berkata, ketirisan wang kerajaan berlaku disebabkan adanya ruang dan peluang untuk ianya disalah guna kuasa serta berlakunya rasuah dan kelemahan pentadbiran.
"Kerajaan amat serius dalam memastikan pelaksanaan agenda pembangunan negara bebas daripada sebarang unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
"Perdana Menteri ketika membentangkan wadah baharu Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat baru-baru ini menekankan untuk memperkukuh dan melaksanakan pembaharuan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam, penekanan akan diberikan kepada tata kelola terbaik.
"Justeru, saya ingin saya tekankan, isu-isu kelemahan tata kelola yang membabitkan kepentingan negara dan menyebabkan ketirisan wang kerajaan yang disebabkan adanya ruang dan peluang bagi berlakunya salahguna kuasa, rasuah, penyelewengan dan kelemahan pentadbiran perlu diberi perhatian dan dicari jalan penyelesaian, bukannya diselindungi atau 'sweep under carpet'," katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan)
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Azhar bin Ahmad pada majlis penutup Persidangan Penyelidikan Governans, Intergriti dan Antirasuah, di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Indera Junipah Wandi dan Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), Datuk Abd Aziz Aban.
Mohd Zuki berkata, 10 resolusi yang diumumkan pada persidangan itu akan dijadikan input dalam memuktamadkan strategi baharu iaitu Strategi Antirasuah Kebangsaan (NACS) yang menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.
"Matlamat untuk menjadi negara maju bebas rasuah tidak harus hanya disandarkan kepada enam bidang keutamaan NACP sedia ada, sebaliknya pelaksanaan tata kelola baik merentasi sektor-sektor lain perlu diperhalusi agar pembaharuan dasar tata kelola, integriti dan antirasuah ini memberi impak positif kepada rakyat dan negara," katanya.
Beliau berkata, persidangan selama dua hari ini itu yang berjaya meneroka banyak manfaat untuk penambahbaikan usaha pemantapan tata kelola serta langkah pencegahan rasuah berdasarkan risiko baharu yang sudah dikenal pasti.
"Tema persidangan iaitu 'Membanteras Rasuah Dalam Kebersamaan: Tiada Noktah' secara tidak langsung mempamerkan hasrat dan aspirasi perkhidmatan awam yang sentiasa berusaha untuk membanteras rasuah dengan memastikan tata kelola terbaik dan integriti yang tinggi menjadi amalan dan budaya semua pihak.
"Walaupun hasil dapatan kajian yang dibentangkan menyentuh metodologi kajian, isu, cabaran serta risiko rasuah yang berbeza, namun matlamat yang hendak dicapai kekal berpaksikan kepada agenda utama iaitu pemerkasaan tata kelola, integriti dan antirasuah," katanya.
Katanya, tiga komponen utama iaitu iaitu isu dan cabaran, risiko rasuah serta syor penyelesaian saling berkait rapat antara satu sama lain dan perlu diberi perhatian sewajarnya dalam usaha merangka strategi penambahbaikan tata kelola ke arah penyampaian perkhidmatan Kerajaan yang telus, cekap dan berkesan.
"Dapatan kajian seumpama ini dapat dijadikan input yang signifikan dalam pembaharuan dan pelaksanaan dasar melibatkan aspek governans, integriti dan antirasuah.