JAKARTA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN perlu lantang dalam menyuarakan pendirian berhubung krisis di Myanmar.
Perdana Menteri berkata, Malaysia turut terkesan dengan isu berkenaan memandangkan ia kini menjadi tempat berlindung kira-kira 200,000 pelarian Rohingya daripada negara berkenaan.
Tegas beliau, rantau Asia Tenggara memandang serius kegawatan di Myanmar dan keadaan itu perlu dirungkai segera.
"Negara anggota ASEAN perlu lebih tegas dan berani dalam menyuarakan kedudukannya. Sebagai contoh, Malaysia perlu melindungi lebih 200,000 pelarian dari Myanmar dengan sebahagian besarnya adalah Rohingya.
"Semestinya rakyat Malaysia secara menyeluruh dan umat Islam khususnya, berasa marah terhadap kekejaman ke atas kumpulan minoriti di Myanmar.
"Justeru, kita perlu mempunyai pendirian jelas dan tegas dalam menyokong pendirian ASEAN dalam mendesak Myanmar menangani perkara ini," katanya dalam wawancara bersama akhbar The Jakarta Post sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Sidang Berkaitan di sini, hari ini.
Anwar berkata, Indonesia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini berperanan penting dalam menyelesaikan krisis di Myanmar dan pada masa sama, mengekalkan libat urus bersama pemegang taruh di negara berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, sikap acuh tidak acuh junta dan tidak menghiraukan Konsensus Lima Perkara ASEAN mengenai isu Myanmar, kekal menjadi batu penghalang bagi negara itu mencapai kestabilan.
"Mungkin buat pertama kali dalam sejarah ASEAN, saya kira hampir 100 mesyuarat peringkat pegawai sudah diadakan (mengenai isu Myanmar).
"Inisiatif diambil Indonesia ini disokong anggota ASEAN dalam usaha mencuba untuk berbincang dengan pemegang taruh di Myanmar.
"Malangnya, junta tentera tidak berminat. Malaysia mengambil pendirian tegas (mengenai Myanmar) berdasarkan Konsensus Lima Perkara dan membenarkan perbincangan ini diteruskan.
"Namun demikian, tidak banyak perkembangan berlaku tetapi sekurang-kurangnya ASEAN telah mengambil langkah positif dan proaktif untuk berbincang dengan pihak berkaitan, malah kita akan terus berbuat demikian," katanya.
Perdana Menteri berkata, Malaysia menyokong cadangan ASEAN termasuk mewujudkan mekanisme troika dalam menangani isu di Myanmar.
Bagaimanapun, tegasnya, persepakatan dalam kalangan negara anggota adalah kaedah paling berkesan menyelesaikannya.