KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak akan teragak-agak untuk menilai kedudukannya semula dalam menyokong Kerajaan Perpaduan jika tiga tuntutan parti itu terhadap perkembangan kes membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak diambil tindakan susulan oleh kerajaan.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata MUDA menganggap keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri itu terhadap kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram adalah suatu perlanggaran terbesar terhadap garisan merah institusi kehakiman negara.
Sehubungan itu, beliau berkata, MUDA menuntut Jabatan Peguam Negara untuk memberi penjelasan di Parlimen mengenai keputusan terbabit selepas mahkamah sebelum ini memutuskan terdapatnya kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.
"Kami juga menuntut supaya pengasingan kuasa Eksekutif Jabatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dengan segera untuk memastikan tiada campur tangan eksekutif dalam mana-mana kes mahkamah.
"MUDA juga akan mengadakan kempen #DakwaZahid bagi menggesa pihak Pendakwa Raya untuk mendakwa semula Ahmad Zahid dengan segera.
"Sebagai sebuah parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan, MUDA tidak teragak-agak untuk mengambil keputusan yang keras dan tegas mengenai kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya tiada sebarang tindakan lanjut dalam kepimpinan tertinggi," katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Beliau berkata demikian susulan Mahkamah Tinggi melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin menghentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.
Sementara itu, Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz, pula mempersoalkan sama ada keputusan melepas tanpa membebaskan terhadap Ahmad Zahid akan dijadikan kes rujukan (precedence) bagi mana-mana ahli politik yang dibawa ke mahkamah.
Beliau berkata, ia adalah suatu persoalan besar kerana kes ini adalah berprofil tinggi yang sudah berada di peringkat pembelaan, namun boleh dilepaskan.
"Selain itu, kita minta juga ahli Parlimen daripada Kerajaan Perpaduan menyatakan pendirian mereka berhubung perkembangan ini kerana bagi MUDA, kita bersama Kerajaan Perpaduan sebelum ini kerana percaya asas pentadbiran kini adalah bersungguh-sungguh untuk melawan rasuah.
"MUDA sebulat suara menganggap keputusan Jabatan Peguam Negara ini adalah isyarat jelas bahawa Kerajaan Perpaduan hari ini tidak benar-benar memperjuangkan isu salah laku.
"Jangan tolak keputusan ini ke atas beban mahkamah kerana ia bukan keputusan mahkamah, namun diambil Jabatan Peguam Negara dan jawapan perlu datang dari Jabatan Peguam Negara," katanya.
MUDA masing-masing menyumbang satu kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Muar yang diwakili Syed Saddiq dan di Puteri Wangsa oleh Amira Aisya.