KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan untuk pendigitalan penjagaan kesihatan negara secara keseluruhan menjelang 2030 dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, berkata pendigitalan kini bukan saja menjadi tumpuan utama di KKM, tetapi di semua fasiliti yang membabitkan perkhidmatan kepada masyarakat.
"Melaksanakan transformasi digital penjagaan kesihatan ini amat penting kerana berupaya mengurangkan beban pentadbiran yang tidak perlu, memperkemas proses dan menghapuskan pembaziran.
"Antara yang akan dilakukan ialah pendigitalan rekod penjagaan kesihatan dan pelaksanaan sistem kesihatan elektronik di mana dengan berbuat demikian, ia dapat mengurangkan kertas kerja, meminimumkan ralat dan meningkatkan kebolehcapaian maklumat pesakit, akhirnya membawa kepada penjagaan kesihatan lebih cekap.
"Pada masa sama, doktor, jururawat dan kakitangan sokongan akan dilengkapkan dengan kemahiran serta pengetahuan dikemaskini dalam memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang berkembang.
"Pendidikan berterusan dan pembangunan profesional juga adalah komponen penting dalam penyampaian penjagaan kesihatan yang cekap," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Hospital Management Asia 2023, di sini, hari ini.
Hadir sama, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh.
Pada program bertemakan 'Merangkul Perubahan untuk Penjagaan Kesihatan yang Lebih Cekap', kira-kira 1,100 peserta daripada 28 negara menyertai persidangan yang diadakan selama dua hari, bertujuan berkongsi pengalaman untuk meningkatkan penjagaan pesakit dan kecemerlangan organisasi.
Dr Zaliha menegaskan, landskap penjagaan kesihatan global sedang mengalami transformasi yang didorong oleh kemajuan teknologi, peralihan demografi dan permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan.
"Malaysia sudah mencapai kemajuan luar biasa dalam penjagaan kesihatan selama ini, tetapi menghadapi cabaran dan peluang unik dalam persekitaran penjagaan kesihatan yang sentiasa berubah.
"Justeru kerjasama dan komunikasi dalam sistem penjagaan kesihatan antara awam dan swasta amat penting kerana ia berupaya meluaskan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti.
"Antara yang dilakukan oleh kerajaan ketika ini ialah skim Perubatan MADANI bagi mengatasi isu kesesakan pesakit di hospital kerajaan, membantu golongan B40 mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut (rawatan pesakit luar kes akut) di klinik pengamal perubatan swasta umum (GP) berhampiran," katanya.
Sementara itu, Dr Kuljit berkata, usaha KKM untuk meneroka model perkongsian awam-swasta dalam penyampaian penjagaan kesihatan memerlukan sumber yang maksimum dalam kedua-dua sektor komersial dan awam.
"Bagaimanapun, kami berharap terdapat badan kawal selia yang boleh mengawal amalan pembayaran balik kerana jika boleh menghalang perlindungan penjagaan kesihatan yang betul dan penyampaian rawatan kepada pesakit.
"Walaupun mengawal kos penjagaan kesihatan adalah penting tetapi etika pembayaran yang munasabah amat perlu, dan APHM mengalu-alukan kerjasama ini untuk menjadikan kos penjagaan kesihatan berdaya maju untuk semua pihak," katanya.