Khamis, 31 Ogos 2023 | 8:45am
Bendera parti dipasang berhampiran persimpangan Jalan Muar-Yong Peng bagi memeriahkan lagi suasana Pilihan Raya Kecil (PRK) N.13 Dewan Undangan Negeri DUN Simpang Jeram. - Foto BERNAMA
Bendera parti dipasang berhampiran persimpangan Jalan Muar-Yong Peng bagi memeriahkan lagi suasana Pilihan Raya Kecil (PRK) N.13 Dewan Undangan Negeri DUN Simpang Jeram. - Foto BERNAMA

PRK: 99 permit diluluskan daripada 107 permohonan

JOHOR BAHRU: Polis Johor sudah meluluskan 99 permit sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram sejak Sabtu lalu hingga semalam.

Jurucakap Media PRK Johor, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintendan Ibrahim Mat Som, berkata jumlah itu adalah daripada 107 permohonan yang diterima pihak polis.

"Semalam, sebanyak 42 permit ceramah dan kempen sempena PRK diluluskan dengan 27 permit diluluskan bagi kawasan Parlimen Pulai dan 15 permit bagi DUN Simpang Jeram.

"Bagi kawasan Parlimen Pulai, sebanyak tiga permit ceramah dan 24 permit kempen diluluskan, manakala, bagi kawasan Dun Simpang Jeram, sebanyak 14 permit ceramah dan satu permit kempen diluluskan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Ibrahim, dua kertas siasatan juga sudah dibuka sepanjang tempoh berkempen itu yang membabitkan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Pada masa masa, beliau menasihatkan supaya semua parti serta kumpulan penyokong menghormati antara satu sama lain serta tidak melakukan kerosakan terhadap poster, banner, bendera, kain rentang mana-mana parti politik dengan mencabut atau membakarnya.

"Hal ini adalah satu perbuatan khianat dan menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, sekiranya mempunyai sebarang permasalahan yang timbul, mana-mana pihak boleh merujuk kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya berlandaskan undang-undang yang sedia ada.

Berita Harian X