Selasa, 29 Ogos 2023 | 4:39pm

Perjanjian langganan saham DNB dijangka diumum esok

PUTRAJAYA: Pengendali rangkaian 5G negara, Digital Nasional Bhd (DNB) dijangka memuktamadkan dan membuat pengumuman berkaitan perjanjian langganan saham (SSA) dalam syarikat itu esok.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzi, berkata DNB dijadualkan mengadakan satu mesyuarat penting esok, yang dijangka turut dihadiri wakil penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Selesai mesyuarat itu, katanya, DNB dijangka membuat pengumuman mengenai SSA atau pemilikan ekuiti dalam syarikat pengendali rangkaian 5G berkenaan, sebelum disusuli pengumuman Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) serta barisan kepimpinan baharu DNB dalam masa terdekat.

"Esok, DNB akan mengadakan mesyuarat penting dan Insya-Allah sebelum penghujung hari esok, kita akan ada pengumuman daripada DNB mengenai 5G.

"Sebelum ini, semua syarikat telekomunikasi sudah setuju untuk menandatangani perjanjian akses bagi menyediakan perkhidmatan 5G, tapi ada satu lagi aspek iaitu SSA atau pemilikan ekuiti dalam DNB.

"Satu telah diumum (perjanjian akses), jadi mungkin kita akan ada pengumuman tentang perkara ini (SSA) esok.

"Selepas itu, Insya-Allah kita akan ada pengumuman mengenai pimpinan baharu termasuk CEO DNB yang baharu dalam masa terdekat," katanya pada sidang media pada Majlis Pelancaran Pakej 5G RAHMAH dan Insentif Pascabayar Rahmah Penjawat Awam di sini, hari ini.

Pada 21 Julai lalu, Fahmi dilaporkan berkata CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia (TM), U Mobile dan YTL Communications akan memuktamadkan rundingan pemilikan saham dalam DNB dalam masa terdekat, sekali gus menyokong pembangunan rangkaian 5G sehingga mencapai liputan 80 peratus di kawasan berpenduduk pada akhir tahun ini.

Ia adalah sebahagian perancangan kerajaan untuk memperkenalkan rangkaian kedua 5G melalui entiti baharu yang akan diwujudkan awal tahun depan dan menukar model pelaksanaan 5G ketika ini daripada rangkaian borong tunggal (SWN) kepada dwirangkaian.

Entiti baharu itu akan menjadi rangkaian kedua selepas pelaksanaan 5G ketika ini melalui DNB.

Pembangunan rangkaian 5G dengan model SWN melalui DNB akan diteruskan hingga mencapai 80 peratus liputan kawasan berpenduduk menjelang akhir tahun ini dan selepas itu, model rangkaian 5G akan beralih kepada model dwirangkaian pada Januari 2024.

Setakat 31 Julai lalu, Fahmi memaklumkan liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk sudah mencapai 66.8 peratus, manakala 4G telah mencapai 96.2 peratus di kawasan berpenduduk di seluruh negara.

Berita Harian X