KUALA LUMPUR: Media Prima Berhad (Media Prima) melancarkan Kempen Manis Pahit Bersama dengan membawa konsep makanan yang menggambarkan hubungan baik dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Pengarah Urusan, Rafiq Razali, berkata kempen itu mencerminkan sesuatu makanan menyatukan semua golongan tanpa mengira bangsa mahupun agama.
"Kita melalui dan mengatasi pelbagai cabaran, namun sentiasa bergerak dalam satu pasukan, bersama mengharungi rintangan pada tahun-tahun kebelakangan ini.
"Jadi tema ini amat sesuai 'Manis Pahit Bersama', iaitu memperkenalkan makanan dalam memupuk hubungan baik serta semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat.
"Menerusi makanan menyatukan kita semua. Penggunaan konteks juadah makanan tradisi dan manisan di Malaysia amat tepat untuk kempen Media Prima pada tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jom Raikan Kuih Malaysia Together-gether di Driveway Balai Berita The New Straits Times Press Bhd (NSTP) di sini, hari ini.
Rafiq kemudiannya menyertai Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid melakukan gimik mewarnakan mural yang menjadi hiasan baharu Driveway Balai Berita di sini.
Hadir sama, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.
Program Jom Raikan Kuih Malaysia Together-gether adalah sebahagian keunikan kempen Hari Kebangsaan MPB, bertemakan Manis Pahit Bersama dengan setiap jabatan menyumbangkan makanan.
Rafiq berkata, mural baharu itu menggambarkan kehadiran warga Media Prima membawa pelbagai jenis kuih untuk dikongsi bersama.
"Ini cara kita meraikan perbezaan dan kepelbagaian dalam semua aspek operasi, selain usaha memupuk rasa bangga dan cintakan negara dalam menerima kepelbagaian budaya yang mendefinisikan negara Malaysia.
"Dengan kempen ini, kita bersama menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia. Saya percaya perasaan cinta itu menjadi tali pengikat utama kepada perpaduan bangsa di negara ini," katanya.
Beliau turut mewakili pengurusan Media Prima mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia buat seluruh rakyat dan warga Media Prima.
Sementara itu, Pengasas Kueh Cafe, Mohamad Ezwan Mohamad Zain, berkata sempena program Jom Raikan Kuih Malaysia Together-gether ini, Kueh Cafe menyediakan 1,000 roti jala serta 600 aneka kuih-muih untuk dijamu kepada warga kerja Media Prima dan tetamu yang datang.
"Kami bangga dengan inisiatif Media Prima mencetuskan usaha murni membawakan konsep 'kuih untuk menyatukan orang ramai' seperti bola sepak menyatukan masyarakat.
"Usaha ini bukan saja membawa kelainan tetapi memupuk semangat kebersamaan kerana kuih adalah makanan yang biasa dimakan sesiapa saja," katanya mempunyai dua cawangan, iaitu Shah Alam dan Subang Jaya.
Katanya, semua kuih tradisional dijual di restorannya dihasilkan golongan asnaf.
Katanya, Kueh Cafe membantu usahawan asnaf yang menjadi pembekal untuk meluaskan perusahaan mereka menjadi lebih besar.
Setiap bulan sebanyak 30,000 pek atau 100,000 kuih dijual di kedua-duanya rangkaian ketika ini.
"Setakat ini, 24 keluarga asnaf menjadi pembekal 50 aneka kuih. Antara kuih paling laris ialah seri muka, koci, ketayap, cara berlauk dan keria.
"Kami juga ada 50 menu makanan minuman lain seperti roti jalan, lempeng, cekodok serta vade sekali gus menjadi pelengkap cita rasa makanan Melayu, Cina dan India," katanya.
Beliau bangga kuih tradisional seperti putu Perak, Nagasari kian dilupakan menjadi antara kuih jualan pihaknya dan menariknya kira-kira 80 peratus pelanggannya di cawangan Subang Jaya adalah kaum Cina.