Jumaat, 25 Ogos 2023 | 9:55pm
Bendera UMNO. - Foto arkib NSTP
Bendera UMNO. - Foto arkib NSTP

UMNO Bentong cadang 5 nama calon PRK Pelangai

KUANTAN: UMNO Bahagian Bentong, hari ini menyerahkan lima nama kepada pucuk pimpinan negeri sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata cadangan lima nama itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas di Bentong, semalam.

Katanya, lima nama berkenaan disenarai pendek sebagai calon berpotensi Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi DUN Pelangai.

Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh.
Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh.

"Hari ini, Setiausaha UMNO Bahagian Bentong menyerahkan senarai itu kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) melalui setiausaha politiknya.

"Kami kini menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat pilihan terhadap calon yang sesuai.

"Mereka yang dicadangkan adalah memiliki keupayaan dan kualiti kepimpinan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan, lima nama itu yang disenaraikan itu termasuk dua calon wanita.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu.

Beliau adalah antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Pada PRU15, Johari berjaya memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat.

Beliau memperoleh 7,308 undi berbanding 3,260 undi diterima lawannya itu mankala dua lagi calon iaitu Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (2,031) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

Semalam, PAS Pahang mengesahkan parti itu menyerahkan tiga nama bakal calon termasuk Kasim yang tewas pada PRU15 kepada pucuk pimpinan pusat parti itu untuk dipertimbangkan pada PRK DUN Pelangai.

Hari pencalonan PRK Pelangai akan diadakan pada 23 September ini manakala pengundian 7 Oktober.

Berita Harian X