KOTA TINGGI: Selepas MCA dan MIC 'bersuara' susulan persoalan dilontarkan beliau sama ada UMNO boleh mempertimbang untuk bertanding atas tiket sendiri berbanding logo Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang, Datuk Seri Azalina Othman Said memberikan penjelasan berhubung isu itu.
Ahli Parlimen Pengerang itu menegaskan, kenyataan terbabit hanyalah pandangan peribadi beliau sebagai Ketua Penerangan serta ahli UMNO, dan bukan pandangan rasmi parti berkenaan mahupun BN, manakala persoalan dibangkitkan sebenarnya menyentuh situasi mengenai apakah senario yang berkemungkinan akan berlaku pada masa depan.
"Saya menekankan bahawa kenyataan saya itu dari mula mengucapkan tahniah kepada pucuk pimpinan BN kerana kita dapat menjadi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan negeri... tiga kerajaan negeri yang kita sudah jadi pembangkang sejak berpuluh tahun.
"Namun, saya juga tegur ahli UMNO yang mana kadang-kadang apabila mahu mendapatkan watikah itu boleh menangis-nangis, berterima kasih, memuja dan memuji. Saya hanya menegur parti saya sendiri. Kalau parti lain terasa, saya minta maaf... ia pandangan saya sebagai Ahli Parlimen yang sudah bertanding lima kali di kawasan Parlimen ini.
"Saya juga mengajak sahabat politik saya bahawa dalam politik, dalam pertandingan, menang ada kalah... dan saya mengingatkan mereka bahawa kalau kita kalah, kita perlu muhasabah diri serta bergerak ke depan," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Semarak Malaysia Merdeka Ke-66 Peringkat Parlimen Pengerang, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan Azalina melontarkan persoalan itu ketika UMNO berdepan penolakan orang Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, selain 'perselisihan' dalaman dikhabarkan meletus antara kepimpinan parti komponen BN sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lalu.
Susulan itu, Naib Presiden MIC, Datuk T Mohan, dipetik berkata UMNO dipersilakanuntuk bertanding menggunakan logo sendiri dalam mana-mana pilihan raya, jika parti berkenaan yakin menjadi pilihan pengundi kawasan yang dipertandingkan.
Bagaimanapun, Mohan berkata, konsep utama BN ialah kebersamaan antara parti komponen yang dipegang sejak puluhan tahun lalu.
Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker pula dilaporkan berpandangan adalah lebih baik untuk Azalina bersopanjika mahu memberikan pandangan sedemikian.
Mengulas lanjut, Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, segelintir pengguna media sosial tidak membaca kenyataannya itu secara menyeluruh, malah ada yang hanya membaca bahagian terakhir, selain menganggap ia merupakan pandangan rasmi UMNO.
"Saya agak terperanjat kerana dalam UMNO, kami parti demokrasi... maknanya, kita ada syarat, ada pertandingan, dan kita membenarkan ahli UMNO memberi pandangan tetapi perlulah pandangan betul. Kalau setakat mahu maki hamun, itu bukan pandangan.
"Saya juga melihat sebagai ahli parti UMNO... saya menekankan dalam artikel saya bahawa demokrasi menjadi keutamaan, oleh itu tegur-menegur itu perkara biasa.
"Sekiranya orang tidak suka pada kepimpinan, tidak suka pada saya, itu hak mereka untuk menegur. Saya juga ada hak saya untuk menegur sesiapa tetapi tidak mungkin apabila kita mahu menulis, tiba-tiba ramai mempunyai pemikiran yang seolah-olah UMNO nak bergerak ke kanan ataupun ke kiri," katanya sambil mengingatkan semua bahawa sebagai gabungan parti politik sama ada yang sudah lama ataupun baharu, perlu menekankan keikhlasan dalam perjuangan.
Ditanya sama ada UMNO sesuai untuk terus menjadi parti Melayu, Azalina menekankan, UMNO memang parti Melayu Islam dan mengikut Perlembagaan parti, ia memperjuangkan hak Melayu, umat Islam dan Bahasa Malaysia.
"Mungkin perbezaan UMNO ialah kami tidak ekstrem. Kami suatu politik yang berlandaskan perhubungan gabungan politik atas tema perpaduan daripada kewujudan BN dari mula hingga kini, gabungan kerajaan perpaduan itu memang dalam DNA UMNO," katanya.