Rabu, 23 Ogos 2023 | 7:23pm
Datuk Seri Azalina Othman Said (kiri) dan Datuk Seri Ti Lian Ker.
Datuk Seri Azalina Othman Said (kiri) dan Datuk Seri Ti Lian Ker.

Lebih baik Azalina bersopan... - Lian Ker

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said kelmarin melontarkan persoalan sama ada parti itu boleh mempertimbangkan bertanding atas tiket sendiri pada pilihan raya selepas ini berbanding menggunakan logo Barisan Nasional (BN).

Persoalan itu dilontarkan ketika UMNO kini dilihat berdepan penolakan orang Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, selain 'perselisihan' dalaman yang dikhabarkan meletus antara kepimpinan parti komponen BN itu sejak berakhir Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tahun lalu.

"Izinkan saya untuk melontarkan persoalan ini, adakah sudah tiba masanya untuk UMNO bertanding atas tiket UMNO pada pilihan raya akan datang atau masih lagi di bawah bendera BN, ataupun di bawah BN dengan gabungan baharu?" kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu.

Kepada kenyataan berkenaan, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, berpandangan adalah lebih baik untuk Azalina bersopan jika mahu memberikan pandangan sedemikian.

Katanya lagi, Azalina tidak sepatutnya membuat kenyataan seperti itu secara terbuka kerana ia dilihat sebagai strategi politik yang seharusnya dibincangkan lebih terperinci bersama pimpinan parti komponen BN yang lain.

"Situasi ini (bertanding atas tiket parti) pernah terjadi ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong pada 2018 apabila MCA guna logo sendiri, namun ia melalui persetujuan bersama dalam BN.

"Jadi perkara yang dinyatakan Azalina itu perlu dibincangkan secara strategik, bukannya secara umum seperti itu. Strategi sedemikian juga tidak perlu dihebohkan," katanya sambil menjelaskan, tiada perbincangan dalam kalangan pimpinan parti komponen BN berhubung persoalan dibangkitkan Azalina.

Beliau juga percaya kenyataannya adalah pendapat peribadi menteri terbabit, tambahan pula kalangan pimpinan UMNO ketika ini dilihat mempunyai perbezaan pandangan.

"Kita ada lebih empat tahun lagi untuk melihat perkembangan politik semasa, jadi pada pandangan saya, mana-mana pendirian masih terlalu awal. Mungkin itu (kenyataan Azalina) hanya cetusan pandangan sahaja, namun lebih baik untuk bersopan dengan mengadakan perbincangan dalam BN," katanya.

Ditanya sama ada perkembangan itu memberi bayangan UMNO mahu meninggalkan BN, Lian Ker berkata, BN tertakluk kepada perlembagaannya, mempunyai susunan tersendiri dan parti komponen tidak boleh bertindak di luar skop, tidak seperti gabungan parti lain.

Terdahulu, Naib Presiden MIC, Datuk T Mohan, mempersilakan UMNO bertanding menggunakan logo sendiri dalam mana-mana pilihan raya, jika parti itu yakin menjadi pilihan pengundi kawasan.

Katanya, MIC itu tidak mempunyai halangan untuk UMNO berbuat demikian sekiranya parti itu mendapat kepercayaan pengundi di kawasan yang dipertandingkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, konsep utama BN adalah kebersamaan antara parti komponen yang dipegang sejak puluhan tahun lalu.

"Terpulang kepada fikiran UMNO jika mahu bertanding atas tiket sendiri, sekiranya mereka mendapat kelebihan majoriti kaum. Jika kawasan itu Melayu, mungkin itu boleh dilakukan.

"Tetapi mengikut konsep kebersamaan BN yang dipegang sejak puluhan tahun, walau siapa pun calon yang dipilih tanpa mengira Melayu atau India, kita sentiasa bersama MCA, parti Sabah dan Sarawak.

"Apa yang mustahak kita perlu tanya ialah, adakah parti itu masih kekal relevan dan pemimpin parti itu sendiri masih relevan," katanya.

Mengulas lanjut, Mohan berkata, MIC sendiri mengakui mereka sukar untuk menang sekiranya bertanding atas tiket sendiri tanpa kehadiran parti komponen BN.

"Pendirian kita jika mahu bertanding bukan berdasarkan perkauman atau menggunakan logo sendiri. Kita tahu kita sukar menang walaupun mempunyai majoriti kaum," katanya.

Beliau turut berkata, MIC sebenarnya tidak terkejut dengan persoalan yang dikeluarkan oleh Azalina itu malah menganggap ia sebagai kenyataan peribadi selagi ia tidak dikeluarkan oleh Presiden UMNO.

"Itu pendirian dia, bukan hadir daripada Presiden UMNO," katanya yang mengesahkan, tiada perbincangan antara pemimpin parti komponen berhubung perkara itu setakat ini.

Berita Harian X