Rabu, 23 Ogos 2023 | 4:22pm

Kukuhkan hubungan dalam BN, bukan tanding atas logo sendiri

KUALA LUMPUR: UMNO perlu mengukuhkan hubungan dalaman dan mencari punca keretakan yang berlaku dalam kalangan komponen parti Barisan Nasional (BN), berbanding mempertimbang untuk bertanding atas logo sendiri pada pilihan raya akan datang.

Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM),

Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian, berkata sekiranya benar perselisihan itu berlaku, perkara utama yang perlu diperhalusi adalah bagaimana untuk menarik pengundi Melayu dan mencari sokongan bukan Melayu.

"UMNO adalah antara teras parti dalam BN dan keputusan bergerak menggunakan tiket sendiri perlu diteliti sedalamnya kerana BN dan UMNO sendiri perlu menilai punca defisit sokongan dan bagaimana mahu menyelusuri gerak kerja dalam kedinamikan politik.

"Apakah perlu dikukuhkan hubungan dalaman, dan melihat punca mengapa ada perselisihan dalam rakan sekutu, sekiranya itu berlaku," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said yang melontarkan persoalan sama ada parti itu boleh mempertimbang untuk bertanding atas tiket UMNO berbanding logo BN pada pilihan raya akan datang.

Ia dilontarkan Azalina ketika UMNO kini berdepan penolakan orang Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, selain 'perselisihan' dalaman dikhabarkan meletus antara kepimpinan parti komponen BN sejak berakhir Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

Sivamurugan berkata tiga cadangan Azalina iaitu menggunakan logo UMNO, masih menggunakan logo BN dan gabungan baharu di bawah BN boleh diperhalusi untuk menarik sokongan pengundi Melayu dan juga mencari sokongan bukan Melayu.

"Turut perlu dilihat adalah mengapa pengundi UMNO tidak mengundi mereka dalam PRU dan PRN lepas, sedangkan ada 3.5 juta ahli UMNO. Ia juga boleh merawat sokongan pada UMNO," katanya.

Dalam perkembangan itu, Penganalisis politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata kenyataan Azalina itu dilihat sebagai pandangan peribadi dan bukannya kenyataan keseluruhan parti dan pemimpin UMNO.

Katanya, persoalan yang dilontarkan oleh Azalina itu juga dilihat sebagai salah satu strategi untuk menarik semula sokongan penyokong Melayu.

"Saya fikir kenyataan itu ialah, lebih kepada UMNO nak mengembalikan identiti mereka sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu.

"Ia juga adalah penekanan kepada identiti UMNO dan bukannya BN. Ini mungkin suatu strategi dapatkan semula sokongan orang Melayu," katanya.

Berita Harian X