JOHOR BAHRU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September ini.
Perkara itu disahkan Timbalan Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz.
Beliau berkata, keputusan untuk tidak meletakkan calon di dua kerusi itu dibuat dalam satu mesyuarat yang diadakan semalam.
"Semalam kita adakan satu mesyuarat, kita telah memutuskan PRK ini, MUDA tidak akan mengambil bahagian dan meletakkan calon untuk dua kerusi ini.
"Setakat sekarang ini, saya sahkan kita (MUDA) tidak akan hantar calon untuk kedua-dua kerusi ini.
"Mesyuarat dijalankan di peringkat negeri Johor dan keputusan ini diangkat biro politik bersama Presiden dan Naib Presiden, kami cadangkan agar MUDA tidak ambil bahagian dan pihak atasan parti bersetuju dengan cadangan kami," katanya pada sidang media selepas Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat daerah Johor Bahru, di sini, hari ini.
Amira Aisya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata, keputusan itu diambil sebagai menghormati penyandang dua kerusi itu, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang disifatkan menjalankan amanah dengan baik.
"Sebenarnya dari awal lagi kita memang menghormati Allahyarham dan Allahyarham telah menjalankan kerja dengan baik. Atas dasar hormat itu, kita (sebelum Pilihan Raya Negeri) sudah ada bincang secara tidak rasmi untuk tidak masuk PRK ini," katanya.
Bagaimanapun Amira Aisya berkata, setakat ini MUDA belum memutuskan untuk kerjasama dengan mana-mana parti lain bagi PRK di negeri ini nanti.
SPR menetapkan tarikh penamaan calon pada 26 Ogos depan, manakala 5 September pengundian awal dan 9 September hari mengundi untuk kedua-dua PRK itu.