Khamis, 17 Ogos 2023 | 1:49pm
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa melawat ruang pameran selepas merasmikan Healthcare Facility Management Conference 2023, hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa melawat ruang pameran selepas merasmikan Healthcare Facility Management Conference 2023, hari ini. - Foto BERNAMA

Bekalan ubat tidak terjejas, KKM tidak hanya bergantung kepada Pharmaniaga

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak bergantung sepenuhnya kepada Pharmaniaga Bhd bagi pembekalan ubat, sebaliknya turut berurusan terus dengan syarikat berkaitan bagi memastikan bekalan ubat dalam negara sentiasa mencukupi.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, setakat ini, bekalan ubat dalam negara tidak terjejas, susulan kedudukan syarikat syarikat itu yang kini di bawah kategori Nota Amalan 17 (PN17), yang bermasalah kewangan.

"Pembekalan perubatan tidak terjejas. Pharmaniaga hanya terbabit dari sudut pengedaran atau logistik.

"Kita ada beberapa cara juga untuk perkhidmatan farmaseutikal ini, dengan kita berurusan terus dengan syarikat yang terbabit. Jadi, ia memang tidak memberi kesan kepada pembekalan ubat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Pengurusan Fasiliti Penjagaan Kesihatan (HcFM CONFEX) 2023 di sini, hari ini.

April lalu, Dr Zaliha memaklumkan, KKM akan melanjutkan penyediaan ubat-ubatan dan bekalan perubatan bagi kemudahannya daripada Pharmaniaga untuk tempoh 10 tahun lagi, selepas tempoh interim berakhir pada Jun lalu.

Sebelum itu, kerajaan melanjutkan tarikh rundingan perjanjian konsesi Pharmaniaga kepada Jun 2023 berikutan kerugian syarikat farmaseutikal itu sebanyak RM607.32 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, berbanding keuntungan bersih RM172.15 juta pada tahun sebelumnya.

Ia berikutan peruntukan RM552 juta untuk 'stok vaksin COVID-19 yang bergerak perlahan' mendorong syarikat itu di bawah kategori PN17, yang bermasalah kewangan.

Perolehan Pharmaniaga juga merosot 27.1 peratus kepada RM3.51 bilion daripada RM4.82 bilion berikutan permintaan yang lebih rendah daripada kerajaan untuk pembelian vaksin COVID-19.

Sementara itu, Dr Zaliha memaklumkan, pemindahan petugas kesihatan dari Semenanjung, khususnya ke Sabah dan Sarawak kini sudah selesai bagi memenuhi keperluan di fasiliti yang berdepan isu kekurangan petugas.

"Kekosongan fasiliti yang berlaku di Semenanjung akan segera dipenuhi untuk memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas.

"Itu sedang kita laksanakan dan akan selesai secepat mungkin," katanya.

Sebelum ini, sebuah portal kesihatan, mendakwa kira-kira 1,000 pegawai perubatan di Kuala Lumpur dan Selangor akan dipindahkan, yang memberi kesan kepada hospital utama di Lembah Klang, termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Berita Harian X