KUALA LUMPUR: Syarikat penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi, Datasonic Group Bhd (Datasonic) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2023 bagi kategori Syarikat Keselamatan Siber.
Anugerah berkenaan adalah satu pengiktirafan dan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan organisasi global, usahawan kecil dan sederhana tempatan, profesional keselamatan siber serta individu atas sumbangan dalam bidang keselamatan siber.
Kejayaan merangkul anugerah itu membuktikan Datasonic kekal menjadi syarikat berdaya saing dan konsisten dalam meningkatkan keselamatan siber apabila mengulangi kejayaan menerima anugerah sama pada 2018.
Pengerusi Eksekutif Datasonic, Tengku Datuk Indera Abu Bakar Ahmad Tengku Tan Sri Abdullah berkata pengiktirafan berkenaan menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi pasukan terhadap inovasi dan kebolehsuaian kepada ruang teknologi yang sentiasa berubah.
"Ia juga bukti usaha kumpulan dalam memastikan langkah keselamatan yang teguh untuk semua produk dan penyelesaian kumpulan terutama aktiviti teras berkaitan pasport, MyKad dan kad kewangan.
"Dengan lebih banyak negara seluruh dunia yang menerima pendigitalan, komitmen kami bukan sahaja sejajar dengan trend ini tetapi juga menerajui usaha Malaysia ke arah ini," katanya.
Tengku Abu Bakar berkata platform digital daripada Datasonic membawa pensijilan EAL2+, menonjolkan keupayaan untuk melindungi, mengukuhkan dan menegakkan integriti data selain memastikan perlindungan ketika pihaknya menavigasi landskap digital.
Terdahulu, beliau menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam Majlis Anugerah Keselamatan Siber dan Gala Dinner 2023 di sini, malam ini.
Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching serta Pengerusi Lembaga Pengarah Cybersecurity Malaysia Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Mengulas lanjut, Tengku Abu Bakar berkata, pencapaian berkenaan bukan sahaja mencerminkan pencapaian tetapi juga dedikasi untuk memberikan nilai luar biasa kepada pelanggan dan mengukuhkan keselamatan negara dalam dunia digital.
"Lebih penting lagi, kemenangan itu memberikan motivasi yang lebih besar untuk kumpulan terutama pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kami akan terus melabur dalam bidang ini," katanya.
Sementara itu, majlis yang meraikan 18 penerima Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2023 turut mengiktiraf bekas Pengerusi Lembaga Pengarah Cybersecurity Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Azumi Mohamed sebagai penerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup Siber.