Rabu, 16 Ogos 2023 | 12:54pm
Mohamed Khaled melihat benih padi Putra 1 selepas merasmikan Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2023 di UPM, semalam. - Foto Bernama
Mohamed Khaled melihat benih padi Putra 1 selepas merasmikan Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2023 di UPM, semalam. - Foto Bernama

'Tuntut Zahid undur tak selesai isu utama'

Kuala Lumpur: Sejak berakhir Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu yang menyaksikan persembahan paling buruk oleh UMNO, beberapa pemimpin, sama ada dari dalam atau di luar parti itu mula mendesak Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil tanggungjawab dan meletak jawatan.

Pada PRN itu, UMNO yang bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN) hanya menang di 19 daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu, iaitu bersamaan dengan 17.6 peratus, paling kecil berbanding parti lain.

Di sebalik desakan itu, ada juga pemimpin UMNO yang tetap mahu Ahmad Zahid terus kekal menerajui parti keramat Melayu itu dan tidak dijadikan kambing hitam untuk dipertanggungjawabkan atas kekalahan teruk parti itu pada PRN lalu.

Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata tindakan menyalahkan Ahmad Zahid sebagai kambing hitam atas kekalahan pada PRN, tidak akan menyelesaikan masalah utama.

Oleh itu, beliau berkata, pemimpin dan akar umbi parti dinasihatkan tidak mudah menyalahkan hanya seorang individu susulan prestasi buruk parti itu.

Katanya, semua pihak dalam UMNO tanpa mengira sama ada pucuk pimpinan tertinggi parti, pemimpin di bahagian dan juga cawangan perlu bersama memikul beban kekalahan.

"Penolakan terhadap UMNO bukan hanya faktor seorang pemimpin, namun disebabkan jenama UMNO itu sendiri.

"Kenapa hanya namakan Ahmad Zahid yang perlu letak jawatan. Kenapa tidak petik sekali nama Pengerusi UMNO Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, sebab kalau nak diikutkan, di lima negeri itu prestasi UMNO buruk kecuali Negeri Sembilan.

"Kenapa puak pendesak dalam UMNO tak salahkan Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri Pusat serta bahagian. Sepatutnya semua ambil tanggungjawab, sebabnya kalau presiden gagal maknanya, keseluruhan kepemimpinan parti gagal," katanya dalam kenyataan, semalam.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai bersetuju dengan kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang dilihatnya lebih rasional dalam menilai kemerosotan prestasi UMNO dengan meminta semua pihak memikul amanah atas kekalahan itu.

"Saya bersetuju dengan pandangan Datuk Seri Jo (Johari) sebab dia lebih rasional dan bijak dalam mengulas kekalahan calon UMNO. Beliau tidak mahu orang UMNO hanya salahkan Presiden saja, sebaliknya semua pihak kena pikul tanggungjawab termasuk dirinya sendiri.

"Tidak macam beberapa pemimpin UMNO Pusat yang terus melatah dan kononnya, terpaling bijak dalam menerajui parti. Apabila prestasi buruk saja, terus bingkas keluarkan kenyataan kononnya, UMNO perlu buat perubahan," katanya.

Beliau berkata, presiden memberikan kebebasan kepada UMNO negeri dan ketua bahagian dalam pemilihan calon yang difikirkan layak.

Desakan lepas jawatan

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata desakan segelintir pihak supaya Ahmad Zahid meletak jawatan Presiden UMNO disifatkan sebagai jalan pintas dan mudah untuk menjadikan kekalahan sebagai alasan.

Mohamed Khaled berkata, memang mudah untuk meminta seseorang meletak jawatan, namun langkah sebaik-baiknya ialah melakukan post-mortem bagi mengkaji dan mengenal pasti punca kekalahan.

"Apabila tengah marah, beremosi, akan keluar macam-macam (kenyataan)... saya tidak mahu tergolong seperti itu.

"Biar kita reda dan melakukan post-mortem. Kita mencari kelemahan diri kerana terdapat banyak faktor (kekalahan)," katanya selepas merasmikan Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2023 di Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam.

Media sebelum ini melaporkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, melihat keputusan PRN sebagai referendum penolakan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN), justeru Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid mesti mengambil tanggungjawab moral dengan meletak jawatan.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Tan Sri Idris Jusoh juga meminta Ahmad Zahid bertanggungjawab atas prestasi buruk BN pada PRN dan menggesa beliau meletak jawatan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, pula berkata tiada keperluan menuding jari, sebaliknya UMNO perlu tingkatkan usaha dalam memastikan penjajaran satu hala tuju iaitu bertunjangkan aspirasi perpaduan perlu diperjelaskan lagi kepada anggota parti.

Katanya, gabungan perpaduan yang berjaya mengekalkan status quo di tiga negeri dan BN yang sebelum ini bukan sebahagian daripada kerajaan negeri, sudah menjadi sebahagian pembentukan kerajaan negeri.

"Kita (UMNO) ucapkan terima kasih kepada pengundi yang memberi sokongan kepada aspirasi perpaduan, selain beri kepercayaan kepada gabungan ini," katanya dipetik BERNAMA.

Azalina bersetuju Kerajaan Perpaduan perlu meneliti dan mempertingkat pemilihan calon, jentera, manifesto, polisi dan atur kerja kempen menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau sedar terhadap desakan pelbagai pihak yang mahu beliau berundur susulan keputusan buruk BN.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata: "Walaupun saya bertanggungjawab keputusan pilihan raya, seperti ditegaskan (Datuk Seri Johari Abdul Ghani), ia sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama kepimpinan UMNO."

"Kita (UMNO) ucapkan terima kasih kepada pengundi yang memberi sokongan kepada aspirasi perpaduan, selain beri kepercayaan kepada gabungan ini untuk membentuk kerajaan di tiga negeri," katanya dipetik sebuah portal berita semalam.

Berita Harian X