Selasa, 15 Ogos 2023 | 12:09pm
Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan beliau menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi BERSATU. - FOTO BERNAMA
Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan beliau menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi BERSATU. - FOTO BERNAMA

Muhyiddin dilepas dan dibebaskan: AGC akan fail rayuan petang ini

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini, daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi BERSATU ketika menjadi Perdana Menteri kelapan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata pihaknya buat masa ini menerima keputusan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, namun akan memfailkan rayuan pada petang hari sama.

"Bagi kes pengubahan wang haram dihadapi Muhyiddin pula, kita akan minta ditangguhkan di Mahkamah Sesyen sementara menunggu proses rayuan kes rasuah itu di Mahkamah Rayuan.

"Pada 19 September depan adalah tarikh seterusnya untuk pendengaran di Mahkamah Sesyen bagi permohonan perbicaraan bersama. Namun dalam keadaan ini, kami terpaksa memohon untuk ia ditangguhkan," katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin selepas membenarkan permohonan Presiden BERSATU itu untuk membatalkan pertuduhan berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan Muhyiddin memfailkan notis usul pada 18 April lalu untuk membatalkan pertuduhan itu, dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu memohon dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu, serta memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat pertuduhan berkenaan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah dengan Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

Beliau mendakwa, ia berikutan tiada mana-mana satu pun daripada pertuduhan itu mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Muhyiddin, 75, didakwa menggunakan kedudukannya ketika menjadi Perdana Menteri kelapan, untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat, iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd, serta Datuk Azman Yusoff bagi BERSATU.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik BERSATU.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Februari 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022, mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lalu, atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Dalam pada itu, ditanya mengenai keyakinan pihak pembelaan Muhyiddin untuk membatalkan pertuduhan pengubahan wang haram pula, Wan Shaharuddin berkata, ia adalah hak mereka untuk berpendapat sedemikian.

"Buat masa ini, arahan diterima adalah memohon untuk kes terbabit ditangguhkan," katanya.

Berita Harian X