KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yakin tiga tuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA), dihadapi Presiden BERSATU itu, akan dibatalkan.
Peguam bela Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, berkata ia susulan anak guam dilepas dan dibebaskan hari ini, atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi BERSATU.
"Tiga tuduhan AMLA itu tidak akan kekal kerana bersifat predikat. Dalam beberapa hari ini, pasukan peguam akan berjumpa dan membincangkan mengenai tiga tuduhan AMLA.
"Kes itu (AMLA) belum selesai dan tuduhan utama (rasuah) dibatalkan pada pagi ini," katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah di sini, hari ini.
Terdahulu, Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin, melepas dan membebaskan Muhyiddin selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tuduhan berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan Muhyiddin memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu pada 18 April lalu, dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu, dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.
Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.
Ini berikutan, dakwanya tiada mana-mana satu pun daripada tuduhan terbabit mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Muhyiddin, 75, ketika menjadi Perdana Menteri kelapan didakwa menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi BERSATU.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya di antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan dalam akaun CIMB Bank milik BERSATU.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022 mengikut AMLA.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lalu, atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.
Hisyam menyifatkan keputusan hakim itu adil dan saksama kerana pertuduhan rasuah berkenaan tidak mengikut undang-undang serta cacat.
"Ia satu penyalahgunaan proses. Hujahan kami adalah pertuduhan itu tidak mengemukakan kesalahan di bawah undang-undang.
"Hakim setuju hujahan kami yang mengemukakan dua perkara asas. Pertama, adalah jelas bahawa BERSATU tidak boleh diklasifikasikan sebagai pertubuhan di bawah undang-undang, kemudaratan terhadap anak guam tidak boleh diperbaiki.
"Pertuduhan kes rasuah tidak mendedahkan butiran yang diperlukan untuk pasukan peguam meneruskan pembelaan yang berkesan," katanya.