Selasa, 15 Ogos 2023 | 11:20am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Dimensi baharu politik tanah air

KUALA LUMPUR: Pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri berakhir Sabtu lalu merintis dimensi baharu terhadap perjalanan politik tanah air, sekali gus memberi isyarat kehangatan politik Malaysia ketika ini nampaknya belum menunjukkan sebarang tanda untuk reda.

Menurut pemerhati dan penganalisis politik, PRN Sabtu lalu juga memberi banyak petanda, khususnya masa depan UMNO sebagai parti keramat Melayu sejak 77 tahun lalu dan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kebangkitan Perikatan Nasional (PN) sebagai parti orang Melayu dan DAP sebagai juara bukan Melayu.

PRN15 juga menunjukkan Kerajaan Perpaduan dipimpin Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) walaupun berjaya mengekalkan tiga negeri yang dikuasainya sebelum ini, jumlah kerusinya merosot banyak khususnya di benteng kuat seperti Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Krisis kepemimpinan membelenggu UMNO yang jelas menjadi antara sebab kepada penolakan pengundi Melayu terhadap mereka mesti diberi perhatian pucuk pimpinannya, bagi mengelak siri kekalahan yang dihadapi parti itu berlanjutan.

Ada berpandangan jika trend ini berterusan, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 nanti parti berdepan kekalahan teruk sekali lagi ialah UMNO. Banyak kerusi UMNO akan diambil alih oleh PAS dan BERSATU, manakala PH masih boleh bertahan tapi sokongan dijangka terus berkurangan.

Mesej daripada keputusan PRN2023 ini pelbagai, namun satu aspek yang penting pada pandangan penganalisis dan pemerhati politik adalah bagaimana PH-BN dan PN perlu bekerjasama demi kepentingan negara.

BH mendapatkan pandangan 10 pemerhati politik termasuk pensyarah, pengamal undang-undang dan bekas menteri untuk merumuskan apa pengajaran yang diperoleh daripada PRN Sabtu lalu.

Datuk Shamsuddin Nawawi.
Datuk Shamsuddin Nawawi.

Datuk Shamsuddin Nawawi
Pengamal undang-undang.

Jika gelombang sokongan Melayu kepada PN ini berterusan dan berlarutan sampai ke Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, yang akan berdepan kekalahan teruk sekali lagi ialah UMNO. Banyak kerusi UMNO akan diambil alih oleh PAS dan BERSATU. Pakatan Harapan (PH) pula nampaknya masih boleh bertahan tapi sokongan akan berkurangan.

Keputusan PRN enam negeri jelas tidak akan mengubah kedudukan kerajaan Persekutuan. Itu dari segi Perlembagaan dan perundangannya. Namun dari segi politiknya, ia mungkin boleh berlaku kerana pendekatan undang-undang dan politik adalah berbeza. Ini juga perlu diberi perhatian yang sama.

Walaupun ada pihak menyebut negara sudah ada undang-undang lompat parti, tapi ini sebenarnya bukanlah suatu akta yang menetapkan secara khusus bentuk-bentuk kesalahan dilakukan oleh Ahli Parlimen yang dianggap bertukar parti, apatah lagi perlu mengosongkan kerusinya sebagai Ahli Parlimen.

Undang-undang ini masih bersifat umum dan hanya satu pindaan ke atas peruntukan Perlembagaan dan bukanlah penggubalan sebuah akta baru. Masih ada kelompangan. Contohnya mengikut undang-undang ini, mana-mana Ahli Parlimen yang dipecat oleh partinya tidak perlu mengosongkan kerusinya.

Jika keahlian dalam partinya tergugur disebabkan melanggar keputusan parti dan perlu mengosongkan kerusi, mereka masih boleh bertanding semula dalam pilihan raya tanpa menunggu tempoh lima tahun oleh kerana peruntukan Perkara 48(6) sudah dimansuhkan.

Datuk Dr Jeniri Amir.
Datuk Dr Jeniri Amir.

Datuk Dr Jeniri Amir
Pemerhati dan penganalisis politik

Kepentingan Melayu itu perlu diberi perhatian serius. Berdasarkan pola pengundian kali ini, jelas ada penolakan terhadap UMNO dan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan. Ini juga melihatkan manifestasi kekecewaan sebilangan rakyat terhadap dasar yang dibawa Kerajaan Perpaduan yang mungkin dilihat tidak mementingkan Melayu.

Saya juga tak fikir Ahmad Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) akan bertindak letak jawatan atas alasan untuk mengekalkan kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Di peringkat Sarawak, khususnya yang membabitkan peranan Gabungan Parti Sarawak (GPS), keputusan PRN tidak akan membangkitkan kecenderungan kepada mereka untuk menarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.    

GPS akan terus beri dukungan kuat untuk memastikan kestabilan politik negara kerana sikap ini akan memberi jaminan lebih baik kepada rakyat terutama dalam memastikan pemulihan ekonomi dan menarik keyakinan pelabur untuk melabur di Malaysia.

Prof Datuk Dr Jayum Anak Jawan.
Prof Datuk Dr Jayum Anak Jawan.

Prof Datuk Dr Jayum Anak Jawan
Profesor Sains Politik, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Felo Akademi Sains

Ada segelintir pengulas politik mengatakan PRN 2023 tiada kaitan dengan Kerajaan Perpaduan. Sebenarnya, ini pandangan yang tidak tepat. Pilihan raya ada kaitan dengan semua hal berkaitan parti, kuasa dan kerajaan. Ini kerana blok sama bertanding untuk mendapatkan sokongan.

Justeru, keputusan dari segi jumlah kerusi naik atau susut menunjukkan pasang surut sokongan. Legitimasi untuk terus memerintah oleh kerajaan campuran terjejas dengan keputusan PRN.

Keputusan ini memberi kesan kepada legitimasi dan integriti untuk terus berpegang kepada kuasa dalam keadaan sokongan sudah susut dengan jelas dari pengundi yang sama yang telah bersuara dalam platform sama, iaitu pilihan raya, walaupun dua pilihan raya berbeza menentukan kerajaan di dua peringkat yang berlainan.

Melayu akar umbi di Semenanjung sudah bercakap dengan jelas siapa pilihan mereka. Dari sudut parti, paling jelas mereka menolak UMNO yang mengulangi kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

UMNO perlu reformasi radikal jika mahu terus hidup. Sudah ada suara mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meletakkan jawatan. Anwar tiada pilihan lain. Jika beliau menghalang perubahan ini dari berlaku, PH juga akan terheret turun sama dalam PRU ke-16.  

Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.
Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM),

Kerjasama antara kedua-dua pihak baik kerajaan negeri dan Persekutuan perlu dipulihkan segera terutama yang berdepan konfrontasi sebelum ini. Tapi semua itu mesti bermula dari kepimpinan negeri, iaitu mereka perlu buang sikap prasangka keterlaluan, tidak mendedahkan perkara yang boleh mengundang kemarahan pihak tertentu dan mengelak membuat kritikan terbuka.

Sekarang ini, tugas mereka untuk bekerja dan berkhidmat kepada rakyat. Jadi, mereka mesti memastikan hubungan di antara kedua-dua kerajaan itu dapat dirapatkan biarpun kapasiti mereka sebagai pembangkang. Atas nama rakyat, mereka perlu memastikan hubungan itu dijernihkan dalam masa terdekat ini.

Perlu ada platform tidak rasmi sesama mereka, baik wakil negeri dan Persekutuan untuk memastikan berbagai-bagai perkara dirancang, dibincang dengan baik sebelum diumum secara rasmi. Kita mahu lihat hubungan yang sihat. Kita mahu memastikan apa yang dilakukan oleh negeri memberi kesan kepada rakyat, namun dengan dukungan kerajaan Persekutuan.

Kesannya keyakinan rakyat kepada orang politik akan bertambah lebih baik dan kuat. Yang penting buanglah ego masing-masing. Kesombongan orang politik ini ada kala agak tinggi. Perlu buang sikap itu demi untuk rakyat.

Pada masa sama, dasar inklusif dan keadilan sosial perlu diberi keutamaan kepada semua pihak tanpa meminggirkan lagi sama ada ia negeri pembangkang dan sebagainya.

 

Khairy Jamaluddin.
Khairy Jamaluddin.

Khairy Jamaluddin
Pengacara Podcast Keluar Sekejap yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO

Saya nampak pemenang paling besar dalam PRN kali ini ada dua parti yang mewakili realiti yang berbeza dalam Malaysia. Parti pertama ialah DAP yang mendapat skor kemenangan 98 peratus, mereka menang 46 daripada 47 kerusi. Pemenang kedua ialah PAS dari kerusi yang dipertanding.

Apabila dua pemenang besar yang mewakili realiti yang berbeza, naratif yang berbeza kerana pengundi sudah memilih realiti yang berbeza seperti ini. Ini sedang menjadi masalah kepada negara.

Kita tak boleh lagi istilahkan kebangkitan PN ini sebagai gelombang hijau, kerana 'hijau' itu seolah-olah dianggap bermaksud sesuatu gelombang Islam yang konservatif, ekstremis dan taliban, yang datang untuk menakluki negeri lain.

Bagi saya, itu satu penjelasan atau analisis yang terlalu mudah. Ya, memang ada yang mengundi sebab isu agama dan kaum, tetapi kejayaan PN dalam PRN ini sebenarnya lebih dari itu.

Tapi saya memuji Perdana Menteri ketika memberi ucapan di WTC, ini masa bersatu, mengetepikan perbezaan, membangunkan negara bersama. Ini ucapan yang baik. Sebab negara memang sedang berhadapan dengan perpecahan politik yang ketara.

Saya rasa Perdana Menteri boleh buat Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) 'plus', termasuk hasratnya untuk melaksana reformasi institusi. Dia boleh campak bola (pelawaan) itu ke gelanggang PN dan jika dibuat, Anwar akan dilihat negarawan.

Dr Mohammad Tawfik Yaakub.
Dr Mohammad Tawfik Yaakub.

Dr Mohammad Tawfik Yaakub
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Fakulti Ekonomi Pentadbiran, Universiti Malaya (UM)

UMNO yang menang hanya 19 kerusi perlu ambil pengajaran daripada keputusan PRN ini, yang menunjukkan orang Melayu khususnya pengundi UMNO beralih sokongan kepada PN atau tidak keluar mengundi.

Pemimpin tertinggi UMNO perlu bertanggungjawab dan berjiwa besar dengan meletakkan jawatan, seperti dilakukan Tun Abdullah Ahmad Badawi pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) dan Datuk Seri Najib Razak selepas PRU14.

Ini mesej jelas orang Melayu dan penyokong UMNO menolak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan tidak selesa dengan kerjasama parti itu bersama DAP.

Pasca PRN, perlu ada gencatan senjata politik di pihak parti pemerintah dan pembangkang, berdamai dengan pihak lawan supaya suhu politik diredakan, khususnya menerima memorandum persefahaman (MoU) yang pernah ditandatangani ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu menunggu pembangkang, sebaliknya beliau sendiri boleh memulakan langkah ini dan tindakan ini akan memperlihat beliau berjiwa besar serta semakin dihormati semua pihak.

Prof Dr Kartini Aboo Talib.
Prof Dr Kartini Aboo Talib.

Prof Dr Kartini Aboo Talib
Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia

Keputusan PRN menyaksikan pengundi Melayu menghantar mesej mereka menolak rasuah dan menentang pentadbiran bersekongkol dengan kesalahan ini, berdasarkan penolakan mereka pada PH-BN, termasuk ahli UMNO sendiri.

Pengundi bukan Melayu pula lebih terbuka menerima pimpinan PH-BN asalkan kebajikan mereka dijuarai DAP, melihat pada pencapaian cemerlang DAP menang 46 daripada 47 kerusi hasil sokongan kukuh bukan Melayu di kawasan bandar.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu bertanggungjawab atas kehilangan banyak kerusi PH kepada PN di Pulau Pinang, Kedah, Selangor.

Keputusan PRN juga menunjukkan UMNO dalam keadaan paling lemah dan nazak, sekali gus harus menggantikan presiden yang ditolak akar umbi. Ahmad Zahid harus berjiwa besar dan meletakkan jawatan untuk menyelamatkan parti.

Dari segi peratusan keluar mengundi, iktibarnya ialah pilihan raya umum (PRU) dan perlu diadakan serentak untuk mengelak kelesuan penyertaan pengundi, selain kerajaan perlu pertimbang mengajar pendidikan kenegaraan dan politik secara formal seawal prasekolah bagi membantu pengundi muda faham hak dan tanggungjawab mereka.

Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian.
Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian.

Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian
Pensyarah Sosiologi Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM

Keputusan PRN menunjukkan polarisasi antara kaum yang ketara, iaitu bukan Melayu menyokong PH-BN dan orang Melayu bersama PN, dan ini perlu diperbetulkan untuk mempertahan identiti negara rencam dan majmuk, termasuk dalam arena politik.

PH-BN perlu memulihkan sokongan orang Melayu, manakala PN perlu memastikan mereka boleh menarik sokongan bukan Melayu, di samping pemimpin dan rakyat jangan terlalu taasub berpolitik.

Keputusan PRN juga menunjukkan perpecahan ketara dalam kalangan orang Melayu berikutan terlalu banyak parti politik mewakili mereka ditubuhkan dan perkara ini harus dinilai semula oleh parti yang berlatarbelakangkan Melayu.

PN harus menilai bagaimana menarik sokongan Melayu kerana mereka tidak dapat bergantung pada GERAKAN. UMNO pula perlu meneliti cara mahu memulihkan sokongan orang Melayu untuk mengimbangi kedudukannya dengan PKR dan DAP.

Pada masa sama, AMANAH juga harus menilai kedudukannya yang dilihat masih gagal menarik sokongan orang Melayu Islam, yang lebih cenderung memilih PAS.

Dr Abdul Aziz Azizam.
Dr Abdul Aziz Azizam.

Dr Abdul Aziz Azizam
Pensyarah Kanan Komunikasi Liberal Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM

PH-BN boleh menjadikan keputusan PRN ini sebagai cerminan dan kayu ukur kepada keberkesanan dan prestasi Kerajaan Perpaduan selama lapan bulan, khususnya kepuasan hati rakyat terhadap janji dan formula pernah diungkapkan.

Rakyat tidak akan bertindak seperti dalam PRN jika mereka berpuas hati dengan prestasi PH-BN, khususnya dalam perkara utama yang perlu diberi perhatian, iaitu kos sara hidup.

Jika pimpinan PH-BN hanya kuat menghentam Tun Dr Mahathir Mohamad dan pimpinan PN lain, tetapi tidak menyelesaikan masalah kos sara hidup, inilah kesannya, hanya menambah undi kepada PN.

Keputusan PRN juga adalah mesej orang Melayu yang tidak selesa dengan komposisi Kerajaan Perpaduan kerana mereka jelas dengan hala tuju dan jaminan terhadap perlindungan hak orang Melayu dan Islam dan ini perlu diatasi.

Seandainya pimpinan PH-BN dapat memberi jaminan yang jelas terhadap kedudukan orang Melayu dan Islam, saya yakin mereka memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

Prof Wong Chin Huat.
Prof Wong Chin Huat.

Prof Wong Chin Huat
Pensyarah Sains Politik Institut Asia Tenggara Jeffrey Cheah, Universiti Sunway

Keputusan tipis di kerusi Taman Medan, Gombak Setia dan Juasseh dengan majoriti masing-masing cuma sekecil 30, 58 dan 78 undi menunjukkan setiap undi amat penting. PH-BN serta PN perlu melaksana reformasi pilihan raya jika enggan kalah kerana faktor kadar mengundi yang rendah.

Umum tarikh pilihan raya beberapa bulan lebih awal supaya rakyat bersedia dan kemudahan untuk pengundi jarak jauh boleh diberikan, misalnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh menyediakan pusat mengundi jarak jauh kepada pengundi luar untuk mengurangkan masa, wang dan risiko keselamatan balik kampung.

Untuk langkah ke depan, PH-BN mesti merenung secara berani fenomena gelombang PN kerana keputusan PRN ini bukan kehilangan undi PH, tetapi perpecahan undi UMNO yang sebahagian besarnya kepada PN.

UMNO perlu pemimpin baharu yang lebih dinamik dan popular pada peringkat negeri dan Persekutuan, serta kembali kepada imej pra-Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu parti ada idealisme dan tidak korup.

Kerjasama PH-BN juga harus dikaji semula supaya ada persaingan persahabatan di antara kedua-duanya dalam bilangan kerusi yang terhad, kerana pengundi UMNO lebih bermotivasi jika BN bertanding sekurang-kurangnya separuh kawasan dan pada teorinya berpeluang menjadi 'abang long' dalam kerajaan gabungan dengan PH.

PN pula harus menerima realiti status quo kekal dan PRN bukan referendum yang boleh menjatuhkan Kerajaan Persekutuan, jadi hentikan retorik itu dan fokus bersaing dengan Kerajaan MADANI secara profesional supaya pada penghujung 2027, rakyat yakin dengan keupayaannya untuk mentadbir negara majmuk Malaysia.

Berita Harian X