KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini melepas dan membebaskan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin, membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tuduhan berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan Muhyiddin memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu pada 18 April lalu, dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu, dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.
Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.
Ini berikutan didakwanya tiada mana-mana satu pun daripada tuduhan terbabit mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM.
Muhyiddin, 75, ketika menjadi Perdana Menteri kelapan didakwa menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi BERSATU.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya di antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan dalam akaun CIMB Bank milik BERSATU.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022 mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lalu atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.
Sementara itu, Muhammad Jamil berkata, empat pertuduhan berkenaan tidak mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM.
"Empat pertuduhan ini tidak mematuhi keperluan mandatori Seksyen 154 KTJ, adalah hal keadaan luar biasa yang mewajarkan saya melaksanakan kuasa sedia ada.
"Ini bagi mengelakkan penyalahgunaan proses mahkamah dan salah laksana keadilan," katanya.
Selain itu, hakim berkenaan berkata, Muhyiddin menegaskan butiran dalam empat pertuduhan itu tidak mencukupi.
"Bercanggahan dengan Seksyen 154 KTJ, responden (pendakwaan) gagal mengkhususkan bagaimana kesalahan salah guna kuasa dilakukan.
"Dia (Muhyiddin) tidak seharusnya dibiarkan untuk membuat spekulasi bagaimana salah guna kedudukan ketika menjadi Perdana Menteri.
"Ini mengakibatkan dia tidak berupaya memberikan arahan wajar kepada peguam untuk menyediakan pembelaan atau menghantar representasi bagi pertimbangan responden sebelum perbicaraan bermula.
"Hak asasi untuk perbicaraan adil di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan dicabuli," katanya.
Kronologi kes tuduhan rasuah Muhyiddin
15 Ogos 2023 - Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.
11 Julai 2023 - Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan 15 Ogos ini untuk keputusan permohonan
11 Julai 2023 - Peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin menghujahkan bahawa kesemua empat pertuduhan salah guna kedudukan adalah cacat kerana responden (pendakwaan) gagal memeprincikan cara kesalahan tersebut dilakukan.
31 Mei 2023 - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, menetapkan 11 Julai depan untuk mendengar permohonan Muhyiddin bagi membatalkan empat tuduhan salah guna kuasa untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.
13 Mac 2023 - Muhyiddin didakwa atas pertuduhan ketujuh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, selaku Presiden Bersatu menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank, milik parti itu. Kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.
10 Mac 2023 - Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu.
10 Mac 2023 - Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.
9 Mac 2023 - Muhyiddin sekali lagi hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berkenaan projek Jana Wibawa.
28 Februari 2023 - Adam Radlan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen sekali lagi atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta berhubung projek Jana Wibawa.
24 Februari 2023 - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim maklumkan projek Jana Wibawa berjumlah RM7 bilion yang dibuat secara rundingan terus dibatalkan.
22 Februari 2023 - Adam Radlan sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan Jana Wibawa.
22 Februari 2023 - Seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung program Jana Wibawa bernilai RM12.875 juta, sejak dua tahun lalu.
21 Februari 2023 - Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.
21 Februari 2023 - bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu. Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.
20 Februari 2023 - SPRM memaklumkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berstatus Ahli Parlimen dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, ditahan berhubung kes Jana Wibawa.
20 Februari 2023 - Bekas Menteri MOF, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, beri keterangan kepada SPRM.
19 Februari 2023 - SPRM sahkan Muhyiddin antara suspek yang disiasat bagi projek Jana Wibawa.
18 Februari 2023 - Muhyiddin mengesahkan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai Jana Wibawa sebagai saksi dan bukannya suspek.
16 Februari 2023 - Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) hadir beri keterangan kepada SPRM.
15 Februari 2023 - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Kementerian Kewangan (MOF) sudah mengarahkan projek Jana Wibawa ditangguh.
2 Februari 2023 - Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin maklumkan partinya menghantar surat kepada SPRM meminta pembatalan pembekuan akuan BERSATU.
1 Februari 2023 - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sahkan pihaknya membekukan beberapa akaun milik BERSATU.
1 Februari 2023 - BERSATU berkongsi penyata akaunnya sebalik dakwaan mengaitkan parti itu menerima RM4 bilion daripada RM92.5 bilion dana Pakej Rangsangan Ekonomi.
13 November 2020 : Jana Wibawa diluluskan oleh Jemaah Menteri.