Isnin, 14 Ogos 2023 | 11:17pm
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke

Seorang ADUN BN akan dilantik EXCO di Pulau Pinang

KUALA LUMPUR: Sejarah baharu politik tanah air tercipta apabila pucuk pimpinan DAP sebulat suara memutuskan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO mewakili Barisan Nasional (BN) akan dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pulau Pinang.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata perkara itu dipersetujui selepas dua kerusi dimenangi calon BN daripada UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam dan Sungai Acheh.

"Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) tadi mencadangkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang supaya seorang EXCO daripada UMNO mewakili BN dilantik.

"Ada dua calon BN menang di Pulau Pinang, maka kita akan lantik wakil BN daripada UMNO untuk berada dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini, malam ini.

PRN Pulau Pinang pada Sabtu lalu menyaksikan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memenangi kerusi DUN Bertam, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) daripada BERSATU, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq.

Seorang lagi calon BN daripada UMNO, Rashidi Zinol mengalahkan Zulkifli Ibrahim (PN-BERSATU) di kerusi DUN Sungai Acheh.

Semalam, Pulau Pinang menjadi negeri pertama dimenangi Pakatan Harapan (PH) menyempurnakan majlis angkat sumpah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Sabtu lalu, gabungan PH-BN Pulau Pinang meraikan kemenangan bagi membentuk kerajaan negeri apabila menang 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN.

Gabungan PH-BN memenangi 29 kerusi iaitu melebihi 21 kerusi DUN yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah daripada keseluruhan 40 kerusi DUN yang dipertandingkan, dengan DAP menang 19 daripadanya.

Loke berkata, keputusan itu menterjemah dan mengangkat semangat Kerajaan Perpaduan di Pulau dengan adanya wakil UMNO itu dalam kerajaan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelantikan Kon Yeow semalam adalah keputusan yang dipersetujui pucuk pimpinan parti.

"Beliau (Kon Yeow) sudah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang sehari selepas PRN dan dalam tempoh beberapa beberapa hari ini, kita akan menghantar nama kepada bakal Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan untuk mewakili DAP untuk diangkat sebagai ahli Majlis EXCO.

"Nama-nama ini perlu diputuskan oleh pucuk pimpinan yang sudah diberikan mandat oleh CEC untuk diserahkan kepada Menteri Besar di Negeri Sembilan dan Selangor," katanya.

Selain memenangi 19 kerusi di Pulau Pinang, DAP memenangi 15 kerusi di Selangor, Negeri Sembilan (11) dan satu kerusi di Kedah.

Dalam pada itu, Loke menegaskan gesaan beberapa pihak supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berundur adalah urusan dalaman parti komponen lain dan DAP tidak mencampurinya.

Berita Harian X