Isnin, 14 Ogos 2023 | 8:52pm
Ong Kian Ming ketika tampil dalam podcast ‘Keluar Sekejap’. - Foto ihsan Facebook Keluar Sekejap
Ong Kian Ming ketika tampil dalam podcast ‘Keluar Sekejap’. - Foto ihsan Facebook Keluar Sekejap

'Kita nasib baik dapat pertahan Selangor, Kerajaan Persekutuan 'selamat' kali ini' - Ong Kian Ming

mahani @bh.com.my

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen DAP, Dr Ong Kian Ming, mengakui Pakatan Harapan (PH) bernasib baik kerana mampu mempertahan kubunya di Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

Perkara itu, katanya, didorong sokongan pengundi khususnya orang Melayu terhadap Perikatan Nasional (PN) yang semakin meningkat bukan hanya di Selangor, tetapi juga Negeri Sembilan dan Kedah.

"Kenaikan sokongan yang begitu kuat terhadap PN di Negeri Sembilan sebanyak 37.1 peratus berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebanyak 21.7 peratus dengan jumlah peningkatan 15.4 peratus.

"Di Kedah pula, (sokongan terhadap PN) naik daripada 54.3 peratus kepada 68.9 peratus, kenaikan sebanyak 14.6 peratus. Begitu juga di Selangor daripada 27.3 peratus kepada 37 peratus.

"Kita bernasib baik dapat mempertahankan Selangor dan menyebabkan Kerajaan Persekutuan 'selamat' kali ini," katanya menerusi program podcast Keluar Sekejap bertajuk 'Post-match Analysis' sempena PRN 2023 hari ini.

Podcast itu dikendalikan bersama bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Kian Ming yang juga Bendahari DAP Selangor turut menyentuh mengenai fenomena perpindahan undi daripada penyokong Barisan Nasional (BN) yang jelas dapat dilihat dalam PRN kali ini.

Pindahan undi itu, katanya, terbukti berdasarkan data pengundian yang diperoleh apabila sokongan terhadap gabungan PH dan BN dilihat sukar untuk menembusi undi pada PRN kali ini.

"Saya rasa lebih 50 peratus boleh dikatakan telah berpindah undi daripada BN-UMNO kepada PN dan keputusan itu cukup jelas selepas PRN kali ini.

"Ia (perpindahan undi daripada PH) menyebabkan PN hampir menguasai sepenuhnya tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu," katanya.

Berdasarkan keputusan PRN Sabtu lalu, PN menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu, selain menguasai 33 daripada 36 kerusi DUN di Kedah dan 43 daripada 45 DUN di Kelantan.

Kian Ming menegaskan, PH dan BN perlu mencari jalan untuk memenangi kembali hati pengundi Melayu, mengambil kira rekod PRN yang mana gabungan itu hanya menarik 27 peratus undi daripada kaum berkenaan.

Beliau juga membangkitkan isu akar umbi DAP yang mempersoalkan kesetiaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baharu dilantik serta anggota Kabinet negeri yang baharu kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Mengulas undi kaum India, beliau berkata peratusan keluar mengundi yang merosot dalam kalangan pengundi India di Pulau Pinang mempunyai kaitan dengan keputusan DAP yang menggugurkan bekas Timbalan Pengerusi DAP negeri, Dr P Ramasamy.

Kian Ming berkata, hanya 43 peratus pengundi India keluar mengundi dalam PRN lalu berbanding 65 peratus yang direkodkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.

"Kemerosotan ini disebabkan keputusan DAP Pulau Pinang tidak mempertaruhkan 'hero' komuniti India, sama seperti dihadapi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor," katanya.

Ramasamy yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang menguasai kerusi DUN Perai selama tiga penggal, namun meninggalkan DAP beberapa hari sebelum pengundian Sabtu lalu sebagai protes kerana tidak dicalonkan bertanding untuk penggal keempat di kerusi berkenaan.

DAP mencalonkan bekas Ketua Pegawai Operasi Eco World Sdn Bhd, S Sundarajoo, yang berjaya mempertahankan DUN Perai selaku kerusi tradisi DAP itu Sabtu lalu.

Berita Harian X