Ahad, 13 Ogos 2023 | 2:10am
Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bercakap kepada media selepas PN/PAS Terengganu menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN semalam.
Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bercakap kepada media selepas PN/PAS Terengganu menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN semalam.

Sejarah tercipta, pembangkang lenyap dari DUN Terengganu

MARANG: Buat pertama kali dalam sejarah, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu tidak akan mempunyai pembangkang selepas Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih semua kerusi ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

Pada PRN semalam, PN yang bertanding menggunakan lambang PAS, menang bergaya apabila menyapu bersih 32 DUN ditandingi dengan gabungan PAS dan BERSATU, sekali gus mencapai sasaran diletakkan sebelum ini.

Kemenangan itu meranapkan impian Barisan Nasional (BN) untuk kembali memerintah Terengganu bersama rakan gabungan mereka, Pakatan Harapan (PH).

Lebih mengejutkan dalam PRN semalam, nama besar daripada BN termasuk dua bekas Menteri Besar Terengganu iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Said dan Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abdul Rahman, kecundang di kerusi yang menjadi kerusi tradisi BN.

Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, tewas di DUN Kijal yang dikuasainya sejak 1990 apabila hanya memperoleh 9,645 undi.

Pencabarnya yang juga Pengerusi BERSATU, Datuk Razali Idris, memperoleh 13,403 undi sekali gus menamatkan 'penguasaan' Ahmad di DUN Kijal dengan majoriti 3,758 undi.

Tidak terkecuali DUN Seberang Takir yang pertama kali berjaya 'dibolosi' PN menerusi Khazan Che Mat yang juga bekas ADUN Batu Rakit.

Cubaan pertama Khazan yang pernah bersama UMNO sebelum ini bertanding di kerusi DUN Seberang Takir itu membuahkan hasil apabila memperoleh 12,156 undi dengan majoriti 2,797 undi berbanding penyandangnya, Ahmad Razif (9,359 undi).

Ahmad Razif yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, menjadi penyandang kerusi berkenaan selama tiga penggal bermula 2008.

Difahamkan, kerusi DUN Seberang Takir tidak pernah dimenangi parti lain selain BN sebelum ini.

Kemenangan Razali dan Khazan membolehkan mereka digelar 'Giant Killer' kerana menewaskan penguasaan dua penyandang di kerusi Kijal dan Seberang Takir sebelum ini.

Tidak ketinggalan, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtaryang berjaya mempertahankan kerusi DUN Ru Rendang buat penggal kedua dengan majoriti lebih tinggi.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS, mendapat 20,926 undi sekali gus menewaskan calon PH, Suhaimi Sulaiman (3,621 undi) dengan majoriti 17,295 undi.

Pada PRU14, Pengerusi PN Terengganu itu memenangi kerusi DUN Rhu Rendang selepas menewaskan dua calon lain dengan majoriti 6,028 undi.

Ketika itu, Ahmad Samsuri memenangi kerusi DUN Rhu Rendang selepas memperoleh 13,851 undi menewaskan calon BN, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (7,823 undi) dan calon PKR, Sarawi Sulong (729 undi).

Untuk rekod, PAS mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri apabila berjaya menguasai 22 daripada 32 kerusi DUN, manakala 10 lagi dimenangi BN pada PRU14.

Kerusi dimenangi BN adalah Hulu Besut, Jertih, Kuala Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemong, Bukit Besi dan Kijal.

PAS hanya menang sepenggal sahaja iaitu pada 1959 hingga 1961 dan 40 tahun selepas itu, PAS menang semula pada 1999 hingga 2004 sebelum tewas dan menang semula pilihan raya pada 2018.

Kemenangan PAS bersama rakan gabungannya, BERSATU berjaya menamatkan 'badi' kerajaan sepenggal yang diberikan kepada parti itu sebelum ini.


Keputusan rasmi PRN 2023:

Berita Harian X