KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) (PH-BN) membentuk kerajaan negeri Selangor selepas menang 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pengundian semalam.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata PH-BN memperoleh majoriti mudah 29 kerusi pada jam 11.31 malam tadi sekali gus melepasi lebih 50 peratus kerusi.
Perikatan Nasional (PN) pula menang 22 kerusi.
Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari pula berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Tua dengan 19,678 undi menewaskan calon PN, Muhammad Hanif Jamaluddin yang mendapat 14,493 undi dan calon Bebas, Suman Gopal, 430 undi.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Amirudin yang juga Naib Presiden PKR menang dengan majoriti 11,374 di DUN Sungai Tua selepas menewaskan tiga calon lain dari BN, PAS dan Bebas yang berentap dalam pertandingan empat penjuru di DUN berkenaan.
Kemenangan PH-BN itu disumbangkan antaranya dari kerusi DUN Seri Serdang, Kinrara, Subang Jaya, Bukit Gasing, Kampung Tunku, Bandar Utama, Bukit Lanjan, Bandar Baru Klang, Pandamaran, Sentosa, Kota Kemuning, Banting, Rawang, Bukit Antarabangsa, Teratai, Kajang, Balakong, Seri Kembangan serta Seri Setia.
PH-BN juga menguasai sebahagian kerusi majoriti Melayu termasuk di DUN Kota Damansara, Kota Anggerik, Meru, Sungai Pelek, Kuala Kubu Baharu, Sungai Tua, Lembah Jaya, Pandan Indah, Dusun Tua dan Semenyih.
Sementara itu, dengan kemenangan 22 kerusi, PN membentuk pembangkang yang kuat di DUN Selangor yang turut menyaksikan tokoh utamanya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menang di DUN Hulu Klang menewaskan Juwairiya Zulkifli dari PH.
BN pula yang pertama kali memasuki PRN secara bergabung dengan PH menang di dua kerusi DUN iaitu Dusun Tua menerusi calonnya, Datuk Johan Abd Aziz dan Sungai Air Tawar menerusi Datuk Rizam Ismail.
BN gagal memenangi 10 lagi kerusi DUN yang ditandinginya iaitu Selat Klang, Sungai Panjang, Jeram, Semenyih, Kuang, Sungai Burong, Gombak Setia, Sijangkang dan Dengkil.
Pada PRU ke-14 pada 2018, PH membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh 51 kerusi DUN dari 56 kerusi yang dipertandingkan.
PKR memperoleh kerusi terbanyak dengan 28 kerusi, diikuti DAP (14), AMANAH (lima) dan BERSATU (empat), sementara BN ketika itu memperoleh empat kerusi dan satu kerusi DUN dimenangi PAS.
Namun, pada Februari 2020, berlaku perubahan kerajaan persekutuan yang menyaksikan BERSATU meninggalkan PH, namun di Selangor, penguasaan pentadbiran kerajaan negeri masih kekal kepada PH.
Keputusan rasmi PRN 2023: