Sabtu, 12 Ogos 2023 | 12:40pm

Kendong bayi 30 hari keluar mengundi

GUA MUSANG: Walaupun masih berpantang, seorang ibu muda Orang Asli gigih mengendong bayi berusia 30 hari untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis, di sini, hari ini.

Andak Oi, 20, dari Kampung Guling, Kuala Betis, mengendong bayinya datang bersama abangnya bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Katanya, dia datang ke pusat mengundi kira-kira jam 9 pagi bersama bayinya.

"Ini kali kedua saya mengundi, kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tahun lalu.

"Saya terpaksa membawa anak yang berusia 30 hari bersama kerana anak masih kecil dan menyusu badan," katanya ketika ditemui di SK Kuala Betis, di sini, hari ini.

Bagi Abok Jawing, 22, berkata dia bersemangat keluar mengundi dan datang bersama beberapa rakan lain.

Abok (empat kanan) beratur sebelum masuk ke pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Kuala Betis, hari ini. - Foto NSTP/Paya Linda Yahya
Abok (empat kanan) beratur sebelum masuk ke pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Kuala Betis, hari ini. - Foto NSTP/Paya Linda Yahya

"Kami tinggal di Kampung Langsat, Kuala Betis yang jaraknya hampir enam kilometer (KM) dengan menumpang kenderaan penduduk.

"Saya harap dengan undi yang kami berikan pada hari ini dapat mengubah nasib masyarakat Orang Asli di kawasan ini," katanya yang turut mengendong anak berusia dua tahun.

Sementara itu, Penghulu Orang Asli Kampung Merlong, Kuala Betis, Ibrahim Marijah berharap lebih ramai masyarakat Orang Asli di kawasan itu akan keluar mengundi.

"Setiap satu undi adalah sangat bernilai bagi menentukan pemimpin negeri dan memilih wakil rakyat yang dapat membela nasib Orang Asli.

"Jadi saya menyeru kepada lebih 3,000 pengundi supaya dapat keluar mengundi pada hari ini bagi menentukan wakil rakyat kita," katanya.

Andak Oi yang masih berpantang mengendong bayinya berusia 30 hari untuk keluar mengundi di Sekolah Kebangsaan Kuala Betis,hari ini.- Foto NSTP/ /Paya Linda Yahya
Andak Oi yang masih berpantang mengendong bayinya berusia 30 hari untuk keluar mengundi di Sekolah Kebangsaan Kuala Betis,hari ini.- Foto NSTP/ /Paya Linda Yahya
Berita Harian X