KUALA LUMPUR: Ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang diramal melanda sembilan negeri sehingga jam 6 petang ini.
Selain ibu negara dan seluruh Kelantan, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan keadaan cuaca itu turut diramal di Kedah membabitkan kawasan Padang Terap, Sik dan Baling selain Hulu Perak di Perak.
Katanya, di Terengganu, cuaca sama diramal di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun manakala di Pahang membabitkan kawasan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Bentong.
"Di Selangor pula membabitkan Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat manakala Negeri Sembilan (Jelebu dan Jempol).
"Hujan lebat, ribut petir berserta angin kencang turut diramal berlaku di Sarawak membabitkan kawasan Kuching, Sibu (Selangau), Mukah (Mukah), Kapit (Kapit dan Belaga) dan Bintulu (Tatau dan Sebauh) selain Tawau (Kunak dan Lahad Datu) dan Sandakan (Tongod dan Kinabatangan) di Sabah," katanya.
METMalaysia memaklumkan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mililiter (mm) per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.
Orang awam boleh merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.