KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mendapati politik ketakutan atau berbaur 'ugutan' bagi memancing undi masih berleluasa sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
Pengerusi BERSIH, Thomas Fann, berkata daripada pemerhatian sepanjang kempen yang berjalan selama 12 hari, turut berlaku penyalahgunaan sumber negeri untuk berkempen oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
"Sama ada parti pembangkang atau kerajaan, kedua-duanya berkempen dengan cara yang keras dan saling membuat dakwaan terhadap satu sama lain.
"Penggunaan politik ketakutan yang berterusan untuk memenangi undi dalam usaha memecahbelahkan pengundi mengikut garis kaum dan agama adalah kebimbangan utama dalam pilihan raya kali ini.
"Retorik sebegini adalah tidak bertanggungjawab kerana boleh merosakkan hubungan antara etnik walaupun selepas pilihan raya berakhir nanti," katanya kepada BH.
BERSIH diminta mengulas corak kempen sepanjang PRN kali ini, sama ada ia bersifat adil dan telus serta memenuhi kriteria yang disarankan oleh pihak berkuasa.
Mengulas lanjut, Thomas secara tegas melihat retorik sebegini adalah tidak bertanggungjawab dan pengundi tidak wajar mengundi kerana takut tetapi menilai kepada rekod prestasi parti, watak calon dan manifesto pilihan raya mereka.
"BERSIH turut melihat penyalahgunaan sumber negeri untuk berkempen oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan turut berlaku dalam PRN kali ini. Ini termasuk memberi peruntukan atau membuat pengumuman penting ketika PRN sebagai kerajaan sementara.
"Misalnya tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi peruntukan kepada belia Terengganu (ketika berkempen) dan tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membatalkan projek Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link)," katanya.
Tambahnya, walaupun tiada undang-undang mengawal penyalahgunaan sumber kerajaan untuk berkempen bagi parti politik, ia tetap tidak beretika dan bertentangan dengan prinsip bertanding secara adil dalam pilihan raya.
Menyentuh kesalahan kempen pilihan raya menerusi media sosial, Thomas berkata, ia masih tertakluk kepada undang-undang yang sama sebagaimana kempen di lapangan.
"Mungkin sukar bagi pihak berkuasa memantau (di media sosial), tetapi jika laporan dengan bukti disediakan, maka tindakan mesti diambil terhadap mereka yang menggunakan isu 3R (raja, agama dan kaum) secara melampau, memfitnah dan menghasut kebencian atau keganasan.
"Jika pesalah ini dapat lolos, pilihan raya di negara ini tidak akan bebas, adil atau bersih," katanya.