BALING: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyangkal dakwaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa beliau memberi kebenaran kepada pencuri unsur nadir bumi (REE) untuk masuk Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu, berkata permit masuk hutan simpan hanya boleh dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) dan beliau sendiri juga perlu mendapatkan kebenaran jabatan terbabit untuk masuk hutan simpan.
"Ada satu persoalan saya nak jawab, ada orang hantar (mesej) cakap Pudin (Saifuddin) dalam sidang media kata Sanusi beri kebenaran kepada pencuri REE masuk hutan simpan.
"Ni saya nak beritahu kamu Pudin. Kebenaran masuk hutan simpan hanya boleh dikeluarkan oleh JPNK, bukan Menteri Besar, bukan Pejabat Menteri Besar, bukan pejabat daerah," katanya berucap pada program bersama calon PN serta penduduk Baling di Padang Awam Kampung Lalang, Siong di sini, petang semalam.
Sebelum ini, Saifuddin dalam sidang medianya dilapor mempersoalkan bagaimana pencuri REE boleh ke kompartmen 12 Hutan Simpan Bukit Enggang dan melepasi empat pagar keselamatan yang semuanya berpengawal.
Beliau berkata, tidak mungkin pencuri mineral itu dapat melepasi pagar-pagar berkenaan sekiranya mereka tidak diberi kebenaran oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah untuk sampai ke lokasi kejadian.
Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi MBI berkata, Saifuddin juga boleh didakwa kerana memasuki hutan simpan itu tanpa permit.
Beliau turut menegaskan tidak sesekali mencampuri urusan agensi kerajaan dan hanya melakukan kerja mengikut bidang tugas masing-masing.
"Inilah tata kelola kerajaan yang kita laksanakan selama tiga tahun, agensi buat kerja agensi, jabatan buat kerja jabatan, EXCO buat kerja EXCO, saya buat kerja saya (Menteri Besar), buat kerja masing-masing," katanya.