KUALA LUMPUR: Memansuhkan pengaruh eksekutif terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara perubahan dicadangkan agensi pembanteras rasuah bagi memastikan sasaran Indeks Persepsi Rasuah (CPI) untuk berada pada tangga 25 teratas dunia boleh dicapai.
Malaysia kini berada di kedudukan ke-61 dalam CPI 2022 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-62 pada 2021.
Skor Malaysia jatuh satu mata iaitu daripada 48 mata pada 2021 kepada 47 mata pada 2022.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, berkata mengikut Akta SPRM, Yang di-Pertuan Agong akan melantik dan juga boleh memecat Ketua Pesuruhjaya SPRM atas nasihat Perdana Menteri.
"Oleh itu, SPRM perlu diletakkan di bawah Jawatankuasa Khas Parlimen supaya SPRM di beri kebebasan yang penuh, sekali gus memberi persepsi positif kepada kerajaan," katanya.
Tambahnya, sasaran untuk mencapai CPI ke tangga 25 teratas boleh berjaya dalam tempoh 10 tahun sekiranya kerajaan melaksanakan perubahan institusi dan perundangan.
Selain itu, kerajaan juga perlu mengurangkan ketirisan dan melebihkan ketelusan dalam pentadbiran serta mewujudkan budaya akauntabiliti di kalangan pemimpin politik dan penjawat awam.
"Rakyat perlu sedar bahawa isu rasuah adalah serius dan sudah sampai ke akar umbi. Namun, Kerajaan dan SPRM sahaja tidak boleh menyelesaikan masalah ini.
"Rakyat perlu membantu dengan memberi maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya ada permintaan atau tawaran suapan (rasuah). Sikap "Jangan Jaga Tepi Kain Orang" adalah punca utama CPI negara kita merosot," katanya.
Sasaran CPI untuk berada pada tangga 25 teratas dunia antara perkara penting diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat bulan lalu.
Sementara itu, Pengerusi Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM, Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham, berkata sasaran itu boleh dicapai sekiranya tugas dan bidang kuasa SPRM dibahagikan kepada dua.
Katanya, ketika ini terlalu banyak kes yang perlu ditangani oleh SPRM bermula daripada suapan kecil-kecilan yang dilakukan oleh orang biasa sehingga kesalahan rasuah membabitkan orang kenamaan.
"Sedangkan untuk melakukan perkara itu, terlalu banyak kepakaran yang diperlukan, malah negara seperti England mempunyai pelbagai agensi dan jabatan yang menangani isu-isu membabitkan jenayah rasuah kecil dan besar yang mana bidang kuasanya dibahagikan bagi memastikan siasatan yang dijalankan lebih efektif dan berkesan," katanya.
Tambahnya, undang-undang sedia ada juga perlu dipinda bagi membolehkan SPRM mengadakan inkuiri awam, supaya penyiasatan yang dilakukan lebih berkesan dan menjadi kepentingan umum.
Katanya, mekanisme ini dilihat mampu mendedahkan rasuah dan salah laku kepada orang ramai, meningkatkan kepercayaan orang ramai bahawa dakwaan rasuah sedang disiasat secara adil dan demi kepentingan awam.
"Ia juga mendidik sektor awam dan masyarakat tentang rasuah dan isu salah laku; menghalang orang lain daripada terbabit dalam rasuah, meningkatkan integriti sektor awam dan menjadikan siasatan lebih adil," katanya.
Dalam nada sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Pushpan Murugiah, berkata sasaran CPI di tangga 25 teratas boleh dicapai dengan memastikan SPRM bebas dan berautonomi dalam melaksanakan tugas.
Selain itu, katanya dasar dan pembaharuan yang ketara juga perlu dilaksanakan untuk meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap institusi negara.
"Pelan AntiRasuah Nasional (NACP) sebelum ini menyediakan banyak ruang untuk pembaharuan yang harus diteliti semula dan dilaksanakan oleh kerajaan bagi membaik pulih secara menyeluruh sistem yang digunakan untuk memudahkan urusan rasuah.
"Perkara itu termasuk memisahkan Pejabat Peguam Negara dan Pendakwa Raya, mengawal selia pelantikan awam dalam badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan serta memperkenalkan undang-undang lain yang mengawal pembiayaan politik, pengisytiharan aset dan hak untuk mendapatkan maklumat," katanya.