KOTA BHARU: PAS mendakwa DAP membawa ideologi melampau termasuk dasar sekularisme yang memisahkan agama daripada politik.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata DAP membawa program 'Malaysian Malaysia' iaitu mahu menjadikan satu bangsa atau tidak ada banyak bangsa sedangkan Allah mencipta pelbagai bangsa.
"Bukan Islam yang ekstrem dan melampau kita tak ajak (kerjasama politik).
"PKR pula macam lalang apabila mengikut angin, manakala Parti Amanah Negara (AMANAH) perjalanan politiknya seolah-olah diatur oleh DAP dan PKR. Kita tidak mengajak parti ini untuk bekerjasama.
"Justeru, yang mutakhir kita anjurkan perpaduan untuk mengembalikan politik orang Melayu apabila kita ajak parti Melayu yang besar iaitu UMNO, BERSATU dan PAS," katanya ketika berucap dalam Ceramah Umum Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) Padang Kala di sini, malam tadi.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan calon PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud.
Mengulas lanjut Ahli Parlimen Marang itu, berkata kerjasama tiga parti itu dahulu bertujuan membina kekuatan orang Melayu kerana parti itu dianggap lebih dekat dengan PAS.
"PAS perjuangan dia Islam, al-Quran dan hadis, manakala UMNO memperjuangkan agama bangsa dan tanah air. Begitu juga BERSATU sama macam UMNO.
"Ini mudah kita ajak (kerjasama). Tetapi malangnya apabila UMNO berpecah kerana UMNO hendak kuasa dia sahaja dan tidak mahu bergabung.
"Dia (UMNO) ingat boleh berkuasa sampai kiamat... mana ada kerajaan dunia sampai kiamat. Kerajaan UMNO tidak kekal, kerajaan Nabi Sulaiman, kerajaan Nabi Daud dan kerajaan Nabi Muhammad tidak kekal serta yang kekal hanya kerajaan Allah SWT," katanya.