BUKIT MERTAJAM: Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong bersedia menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, jika Ketua Menteri, Chow Kon Yeow membatalkan projek tambak laut di selatan perairan negeri itu (PSI).
Tong Keong yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak berkata, pendirian itu selepas mengambil kira impak ke atas rakyat Pulau Pinang susulan pelaksanaan PSI.
Katanya, kesediaan itu antara lain dibuat selepas mempertimbangkan keengganan kerajaan Pulau Pinang membatalkan PSI, biarpun projek berkenaan menerima tentangan pelbagai pihak.
"Cabaran ini dilontarkan kepada Kon Yeow selepas Pengerusi DAP Pulau Pinang itu menyuarakan gesaan supaya GERAKAN keluar daripada PN sebagai simbolik membantah tindakan PAS kepada Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang 'dihalau' daripada ceramah anjuran PAS sebelum ini.
"Saya akan tarik diri daripada menyertai PRN Pulau Pinang serta-merta, jika Kon Yeow rela membatalkan PSI," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Baru-baru ini, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang merangkap Pengerusi DAP negeri dilaporkan berkata, GERAKAN patut menarik diri daripada PRN jika masih bermaruah, sekali gus simbolik membantah tindakan PAS itu.
Gesaan itu menyusuli tindakan PAS dikatakan meminta Dominic meninggalkan Ceramah Mega PN Best di Sungai Dua, Tasek Gelugor.
Rentetan insiden itu, Tong Keong yang juga Pengerusi GERAKAN negeri dipetik berkata, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu akan berundur jika PN negeri mula mengamalkan ekstremisme selepas menang PRN Pulau Pinang nanti.
Sementara itu, Tong Keong menyifatkan gesaan Kon Yeow supaya parti itu keluar dari PN sebagai tidak logik, memandangkan rakan gabungannya iaitu PAS belum pun diberi mandat mentadbir Pulau Pinang.
"Ini tidak logik sama sekali kerana PAS masih belum memerintah di Pulau Pinang, tetapi Kon Yeow sudah mahu kami menarik diri untuk membantah PAS. Bantah apa?
"Namun, demi kepentingan rakyat di negeri ini, khasnya hak dan kebajikan penduduk di kawasan yang terjejas, jika Kon Yeow rela membatalkan PSI, saya akan tarik diri daripada PRN kali ini, serta-merta," katanya.