KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen menetapkan 19 September ini untuk mendengar permohonan pendakwaan supaya empat tuduhan menggunakan kedudukan dan tiga tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk dibicarakan bersama.
Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh pendengaran itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, memberitahu kedua-dua pihak sudah selesai memfailkan dokumen masing-masing berhubung permohonan itu dan bersetuju tiada apa lagi dokumen yang akan difailkan.
Beliau berkata, kedua-dua pihak mencadangkan supaya permohonan pendakwaan itu didengar pada 19 September ini.
Katanya, pendakwaan juga menyerahkan beberapa jilid dokumen lagi (berkaitan kes) kepada pasukan pembelaan hari ini.
"Oleh kerana tertuduh tidak hadir (dikecualikan kehadiran) hari ini dan mengikut undang-undang ia mesti diserahkan kepadanya, kedua-dua pihak bersetuju ia diserahkan kepada pembelaan.
"Kami memohon supaya serahan dokumen ini direkodkan," katanya.
Azura kemudian mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 8 September ini dan sekiranya ada jawapan bertulis, difailkan pada 15 September.
Beliau menetapkan pada 19 September ini bagi pendengaran permohonan dan juga sebutan kes.
Sementara itu, peguam bela Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon supaya Muhyiddin dikecualikan kehadiran pada prosiding pendengaran itu, bagaimanapun Azura memutuskan tertuduh perlu hadir pada tarikh berkenaan.
Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, didakwa di Mahkamah Sesyen dengan enam pertuduhan, iaitu empat tuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.
Bagi pertuduhan pertama, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM200,000,000 dari Bukhary Equity Sdn Bhd bagi milik parti, BERSATU.
Beliau turut didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM1,000,000 daripada syarikat Nepturis Sdn Bhd juga bagi milik BERSATU.
Bagi pertuduhan ketiga, belia didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM19,500,000 daripada syarikat Mamfor Sdn Bhd bagi milik partinya.
Pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM12,000,000 bagi milik partinya daripada Azman Yusoff.
Semua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.
Muhyiddin juga didakwa sebagai Presiden BERSATU menerima RM120 juta dan RM75 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik BERSATU di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Februari 2021 hingga 8 Julai 2022.
Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Pada 13 Mac pula, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta di AmBank cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya dekat sini, pada 7 Januari 2022.