Jumaat, 4 Ogos 2023 | 10:34am
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Makan Malam Amal Bersama Pemimpin anjuran Pertubuhan Kebajikan Kebudayaan dan Sosial Kaum India Pulau Pinang -Foto NSTP/DANIAL SAAD
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Makan Malam Amal Bersama Pemimpin anjuran Pertubuhan Kebajikan Kebudayaan dan Sosial Kaum India Pulau Pinang -Foto NSTP/DANIAL SAAD

Isu Dominic: PH persoal tiada pemimpin PAS tegur

GEORGETOWN: Pakatan Harapan (PH) menyelar layanan PAS terhadap Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai ketika Presiden GERAKAN itu menghadiri Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) Best di Sungai Dua, Tasek Gelugor, Selasa lalu.

Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata layanan seperti itu tidak mempamerkan perwatakan Islam, selain tidak mencontohi keperibadian Nabi Muhammad SAW, terutama ketika berdepan layanan kasar daripada pihak lawan.

"Malah, Dominic dilayan sebegitu rupa di hadapan pemimpin mereka. Namun, pemimpin ini tidak berbuat apa-apa, dia boleh diam sahaja dan itu bukannya pemimpin yang baik. Pemimpin yang baik sepatutnya bawa Dominic sebagai tetamu dan berikan penghormatan," katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR turut mempersoalkan kewajaran parti yang memperjuangkan Islam bertindak demikian terhadap rakan daripada parti komponen PN, selain menyifatkan tidakan itu sebagai biadap.

Selain itu, katanya, Dominic tidak seharusnya dilayan sedemikian, biarpun terdapat perbezaan pendapat membabitkan pemilihan calon yang mahu diketengahkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.

"Kita boleh berbeza dengan Dominic tetapi (saya) tak setuju dia dilayan begitu. PKR dan DAP ini banyak perbezaan dan persamaan, tetapi bagi menguruskannya tak pernah kita layan DAP seperti PAS melayan Dominic di Pulau Pinang. Begitu juga sebaliknya.

"Berbeza pendapat adalah lumrah dalam politik tetapi tidaklah sampai kita layan sebegitu buruk dan biadap, lebih-lebih lagi atas nama parti Islam. Saya nak beri tahu, saya Melayu dan Muslim. Ia bukan adab dan akhlak politik orang Islam.

"Nabi Muhammad SAW adalah contoh ikutan paling baik.Memahami sirah baginda, banyak kali dilayan secara kasar oleh lawannya tetapi tak pernah dibalas dengan kasar, sebaliknya penuh dengan hikmah dan kelembutan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal bersama Pemimpin anjuran Pertubuhan Kebajikan Kebudayaan dan Sosial Kaum India Pulau Pinang yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, Dominic mengakui tidak kisah tidak diundang menghadiri Ceramah Mega 'PN Best' di Sungai Dua, Tasek Gelugor, selain menganggap program itu adalah anjuran PAS, sekali gus parti itu berhak menentukan pihak yang mahu diundang atau memberi ceramah.

Kelmarin, Dominic yang juga Timbalan Presiden PN dikatakan diminta meninggalkan program Ceramah Mega PN Best itu kerana tidak diundang menyertai program yang disertai Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Pergeseran tercetus antara PAS dan GERAKAN apabila kepimpinan PAS menyerahkan kerusi DUN Bayan Lepas kepada Dominic walaupun kerusi berkenaan adalah kerusi tradisi PAS.

Sementara itu, Saifuddin Nasution mengakui khuatir rakyat akan menerima layanan sama, jika PN diberi peluang mentadbir kerajaan Pulau Pinang, selain menyifatkan tindakan sedemikian akan memberi malapetaka kepada rakyat di negeri berkenaan.

"Dia (PAS) memberikan wajah hodoh dan salah mengenai Islam kepada masyarakat bukan muslim. Itu bukan keperibadian orang Islam. (Layanan biadap) Hanya kerana perbezaan dari segi siapa patut dapat kerusi Bayan Lepas semata-mata.

Berita Harian X