KUALA TERENGGANU: Modal 'Undi UMNO dapat DAP' dan sebaliknya yang digunakan parti lawan untuk meraih sokongan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah cubaan memesongkan pemikiran rakyat dan tidak matang, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Katanya lagi, ia juga menunjukkan pemimpin pembangkang sudah ketandusan modal dan cuba memperbodohkan rakyat.
Menurut Menteri Pengangkutan itu, DAP langsung tidak meletakkan calon di Kelantan serta Terengganu, sebaliknya yang bertanding semuanya calon Barisan Nasional (BN) diwakili UMNO dan parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH).
"Pimpinan PAS perlu berhujah secara matang, jangan nak perbodohkan rakyat. Mana boleh undi calon BN boleh dapat wakil rakyat DAP? PAS sudah lama bertapak di Terengganu dan Kelantan, mengapa takut sangat dengan DAP, ibarat takut bayang-bayang sendiri," katanya.
Beliau yang ditemui pemberita di Kampung Cina, di sini hari ini juga melihat kenyataan pemimpin Perikatan Nasional (PN) memberi gambaran mampu menjatuhkan Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika menang PRN di enam negeri nanti sebagai 'mimpi di siang hari'.
"Ibarat 'bertepuk sebelah tangan', 'bermimpi di siang hari' apabila berhujah kemenangan di enam negeri mampu menukar kerajaan Persekutuan. Hujah itu juga tindakan tidak bertanggungjawab dan cuba mengelirukan pengundi," katanya.
Hakikatnya, Loke berkata, PN tidak boleh menukar kerajaan Persekutuan walaupun menguasai enam negeri pada 12 Ogos nanti.
"Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan adalah kerajaan stabil dan sukar tumbang walaupun PN menguasai enam negeri pada PRN nanti," katanya.
Beliau berkata, semua parti dalam PH menunjukkan keyakinan cukup tinggi mengekalkan Kerajaan Perpaduan, begitu juga dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
"GPS dan GRS, dua blok penting ini turut menunjukkan keyakinan dan bertekad melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan Kerajaan Perpaduan berfungsi dengan baik sepanjang penggal ini.
"Keyakinan GPS dan GRS terbukti apabila Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Johari Abang Openg turut hadir mengiringi calon PH-BN pada Sabtu lalu. Mereka nyatakan sokongan tak berbelah bagi walau apa juga keputusan pada PRN Sabtu depan," katanya.
Katanya lagi, kehadiran dua pimpinan tertinggi parti dari Borneo itu bersama Anwar mengiringi calon ke pusat penamaan, memberi syarat bahawa Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan kukuh dan sukar digugat.
"Adalah tidak berasas hujah pimpinan parti itu kononnya mampu menukar kerajaan persekutuan jika menguasai enam negeri pada PRN ini," katanya turut mengajak pengundi di Terengganu, Kelantan dan Kedah memilih kerajaan yang sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.
"Ia supaya lebih banyak kemajuan dan pembangunan dapat dilaksanakan," katanya yang juga Ahli Parlimen Seremban dan bakal bertanding di kerusi DUN Chennah pada PRN di Negeri Sembilan.