KUALA LUMPUR: Harga beras tempatan masih kekal RM2.60 sekilogram, walaupun ada kenaikan harga beras dari Vietnam dan Thailand, susulan tindakan India melarang eksport beras putih bukan basmati.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata harga beras import tidak dikawal dan mengikut harga pasaran.
"Hanya beras tempatan yang dikawal harga RM2.60 sekilogram," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini BH melaporkan harga gred beras Vietnam lima peratus pecah meningkat sehingga ke tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini, iaitu AS$550 - AS$575 (RM2,500 - RM3,470) setiap tan, menandakan harga tertinggi sejak 2011.
Pasaran beras Thailand juga mengalami lonjakan harga yang selari. Pada 27 Julai, harga gred beras Thailand lima peratus pecah melonjak pada AS$605 - AS$610 (RM2,742 - RM2,765) setiap tan, mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh 11 tahun lalu.
Larangan India terhadap eksport beras yang dikeluarkan pada 20 Julai, bertujuan memastikan kesediaan beras domestik yang mencukupi pada harga yang berpatutan.
India menyumbang lebih 40 peratus daripada eksport beras dunia dan inventori yang rendah dengan pengeluar lain bermakna pengurangan penghantaran boleh menaikkan harga makanan yang sudah meningkat akibat pencerobohan Russia di Ukraine tahun lalu.