Ahad, 30 Julai 2023 | 3:43pm

'Perlembagaan Pulau Pinang kekal, bekas KM berkhidmat 2 penggal tak boleh dilantik ke jawatan sama'

BUTTERWORTH: Kerajaan Pulau Pinang tidak berhasrat meminda Perlembagaan negeri untuk memberi laluan kepada mana-mana bekas Ketua Menteri yang sudah berkhidmat selama dua penggal dilantik semula ke jawatan berkenaan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata pihaknya bersama kepemimpinan DAP khususnya akan memastikan cadangan terbabit tidak boleh direalisasikan, selari perjuangan diketengahkan parti itu

"Saya sendiri tidak tahu siapa punya cadangan (meminda Perlembagaan negeri bagi membolehkan mana-mana bekas Ketua Menteri yang sudah berkhidmat selama dua penggal untuk kembali dilantik ke jawatan berkenaan).

"Kalau tanya Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, beliau juga sangat tidak bersetuju mengenai perkara ini. Justeru, sudah pasti DAP tidak akan membenarkan perkara ini berlaku," katanya selepas merasmikan pusat operasi Perai di Chai Leng Park, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, pemimpin veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih, Lim Guan Eng.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PH negeri merangkap Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata demikian bagi mengulas dakwaan wujud usaha terancang untuk meminda Perlembagaan negeri bagi membolehkan bekas Ketua Menteri yang sudah berkhidmat selama dua penggal dilantik semula ke jawatan itu.

Dakwaan itu timbul selepas ada pemimpin kanan PH dikatakan cuba mengintai peluang kembali menerajui kerajaan negeri bagi menggantikan Kon Yeow selepas suatu tempoh dilantik ke jawatan itu, jika pemimpin terbabit berjaya mengekalkan mandat di Pulau Pinang.

Mengulas dakwaan 'maharaja' sudah memuktamadkan barisan EXCO kerajaan negeri, Kon Yeow yang juga calon PH DUN Padang Kota, bagaimanapun enggan mengulas perkara itu.

Beliau sebaliknya menegaskan fokus PH ketika ini adalah untuk berusaha memenangkan semua calon gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, 12 Ogos ini.

"Kalau menang, saya boleh angkat sumpah sebagai Ketua Menteri, kemudian baru akan fikir untuk menentukan barisan EXCO kerajaan negeri yang bakal dibentuk, membabitkan semua parti yang menang, bukan DAP saja.

"Hakikatnya, barisan EXCO memang perlu dibentuk, namun prosesnya akan dibuat selepas wujudnya Ketua Menteri dan ini memang tanggungjawab dia untuk membentuk kerajaan negeri.

"Saya ulangi pendirian yang barisan EXCO kerajaan negeri akan dilantik, membabitkan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan. Namun, masih terlalu awal untuk menyatakan apa-apa mengenainya," katanya.

Kon Yeow berucap pada majlis perasmian pembukaan pusat operasi Perai di Chai Leng Park, Perai hari ini. NSTP/MIKAIL ONG
Kon Yeow berucap pada majlis perasmian pembukaan pusat operasi Perai di Chai Leng Park, Perai hari ini. NSTP/MIKAIL ONG
Berita Harian X