SEREMBAN: Kementerian Ekonomi akan melancarkan projek rintis Akademi Industri peringkat nasional pada Selasa ini sebagai usaha kerajaan untuk melaksanakan reformasi pasaran buruh dalam negara.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata pihaknya sudah menarik minat 200 syarikat pengilang antarabangsa bagi membuka ruang kepada belia khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk membabitkan diri dalam sektor pembuatan dan perkilangan sebagai pekerja berkemahiran tinggi.
Program itu juga bertujuan bagi menangani isu berbangkit berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti tempoh pengajian yang panjang, tidak menamatkan pengajian dan minat semakin berkurang terhadap bidang berkenaan.
"Ia (program) akan memberi peluang kepada syarikat ini untuk mengambil pekerja dan melatih mereka ketika bekerja dan kemudian diberi pensijilan," katanya ditemui media selepas Ceramah Mega Malaysia Madani DUN Sikamat, malam tadi.
Jelas beliau, ketika ini hanya 30 peratus daripada lepasan SPM yang melanjutkan pelajaran dan mendapatkan pekerjaan selain minat untuk menyambung pelajaran dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga dilihat semakin merosot.
"Sebab proses yang ada sekarang ini lambat sikit kerana pelajar kena pergi institusi TVET dulu. Jadi dia pergi (belajar) tiga tahun, selepas itu ada ramai tidak tamat belajar.
"Kebelakangan ini juga minat pelajar terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) apatah lagi terhadap TVET semakin berkurang.
Justeru beliau berkata, menerusi program dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia itu mampu menawarkan pendapatan yang lebih berpatutan dan dalam masa sama dianugerahkan sijil kemahiran.
"Melalui akademi dalam industri, mereka boleh mendapatkan wang dari awal umur 18 ke 19 tahun. Elaun perpindahan (rumah) kita sediakan dan ada ganjaran lain.
"Mereka tahu mereka boleh membina kerjaya melalui jalan ini kerana selepas 18 bulan mereka sudah dapat sijil.
"Daripada sijil itu mereka terus boleh bekerja dan tidak payah ambil peperiksaan. Maksudnya sebahagian daripada penilaian dan pensijilan dibuat daripada praktikal," katanya.