Sabtu, 29 Julai 2023 | 2:30pm

Reezal Merican cuba kembalikan kebangkitan BN di DUN Bertam

KEPALA BATAS: Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang membuat kemunculan 'semula' dengan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang mahu kembalikan kebangkitan BN di situ.

Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas itu akan ditentang penyandang kerusi DUN terbabit pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dari Perikatan Nasional (PN)

Reezal Merican berkata, biarpun tewas untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu namun beliau mendapat sokongan dari pengundi di DUN Bertam.

"Di Kepala Batas kita mempunyai DUN Penaga, Bertam dan Pinang Tunggal tetapi semasa keputusan PRU15 lalu saya menang di DUN Bertam dengan majoriti cecah lebih 900.

"Bagaimanapun, saya tidak ambil itu sebagai laluan mudah kerana lawan saya adalah penyandang kerusi yang mesti memberi kelebihan kepadanya.

"Apa-apa pun (keputusan bertanding) adalah kerana saya mahu beritahu kepada orang-orang Kepala Batas bahawa Reezal Merican sentiasa ada dan tidak pernah meninggalkan mereka walaupun tewas pada PRU15 lalu yang Bertam adalah petanda kembali kebangkitan Barisan Nasional (BN) di Kepala Batas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Millenium, di sini, hari ini.

Sementara itu, Khaliq Mehtab mengakui DUN Bertam digelar kerusi panas selepas seorang bekas Menteri dan Ahli Parlimen bertanding untuk mencabar dirinya.

"Ini persaingan sangat sengit kerana lawan saya bukan orang yang 'calang-calang' tetapi saya ambil sebagai cabaran untuk perjuang dan memastikan kemenangan bukan sahaja di DUN Bertam tetapi juga di Penaga dan Pinang Tunggal.

"Apatah lagi, sejak saya menang pada 2018, saya sudah buat persediaan sehingga saya dibuang (kerusi diisytiharkan kosong kerana lompat parti) pada 6 Mac lalu yang kini masanya saya menang semula," katanya.

Khaliq Mehtab memenangi kerusi terbabit atas tiket Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 217 selepas menewaskan calon BN dan PAS. Bagaimanapun, kerusi itu diisytiharkan kosong selepas tindakan Khaliq Mehtab yang melompat parti dan menyertai PN.

Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican (tengah) bersama calon BN DUN Penaga Mohd Naim Salleh (kiri) dan calon PH DUN Pinang Tunggal Zainuddin Mohd (kanan) tiba di Pusat Penamaan Calon Dewan Millenium Kepala Batas. - Foto Nur Izzati Mohamad
Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican (tengah) bersama calon BN DUN Penaga Mohd Naim Salleh (kiri) dan calon PH DUN Pinang Tunggal Zainuddin Mohd (kanan) tiba di Pusat Penamaan Calon Dewan Millenium Kepala Batas. - Foto Nur Izzati Mohamad
Berita Harian X