Khamis, 27 Julai 2023 | 1:59pm
Dr P Ramasamy (kiri) dan M Satees.
Dr P Ramasamy (kiri) dan M Satees.

DAP akur ada ahli protes, anggap perkara biasa

KUALA LUMPUR: Bantahan terhadap pengumuman calon DAP bagi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang oleh penyandang yang digugurkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan, tidak mengganggu fokus parti itu.

Ia susulan protes oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga penyandang kerusi DUN Perai, Dr P Ramasamy, dan penyandang DUN Bagan Dalam, M Satees, selepas digugurkan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menganggap bantahan dan pandangan dikemukakan kedua-dua pemimpin DAP Pulau Pinang adalah 'perkara biasa' dan enggan memberi tumpuan kepada isu berkenaan.

"Isu berkenaan calon itu memang perkara biasalah, mereka akan beri pandangan dan sebagainya (selepas digugurkan).

"Hari ini kita fokus kepada kerangka Ekonomi MADANI. Biar kita fokus kepada perkara positif.

"Saya akan berikan fokus kepada kerja kita untuk mengembangkan semula ekonomi negara supaya dapat memberikan kesejahteraan kepada rakyat," katanya ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Satees yang mendakwa ada 'maharaja' dalam DAP yang menentukan senarai calon daripada parti itu yang akan bertanding dalam PRN Pulau Pinang.

Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang menyifatkan wujud 'tangan ghaib' di sebalik pemilihan calon DAP, dengan mendakwa penyandang kerusi DUN yang menyokong Chow Kon Yeow kekal sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selepas PRN digugurkan.

Dalam pengumuman calon DAP di Pulau Pinang pada Selasa lalu, Loke mengumumkan Datuk Seri S Sundarajoo dipilih bertanding di DUN Perai menggantikan Ramasamy, yang menyandang kerusi itu selama tiga penggal sejak 2008 pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12).

Selain itu, K Kumaran diumumkan sebagai calon di DUN Bagan Dalam bagi menggantikan Satees yang menyandang kerusi itu selepas menang pada PRU14 dengan majoriti 6,783 undi.

Ramasamy, 74, yang juga wakil masyarakat India pertama dilantik ke jawatan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, dikenali sebagai pemimpin DAP yang penuh kontroversi kerana kerap mengeluarkan kenyataan berbentuk provokatif.

Awal tahun ini, Ramasamy dikritik hebat kerana menimbulkan beberapa isu kontroversi termasuk mengenai kakitangan awam, dengan beberapa pihak menyifatkan beliau sebagai bermulut celupar selepas menggesa Kerajaan Perpaduan menamatkan dominasi Melayu dalam sektor perkhidmatan awam.

Dalam kenyataan berasingan, Ramasamy pernah menyifatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan sahaja membebankan UMNO tetapi juga Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan jika kekal sebagai Presiden UMNO.

Beliau mengulas keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang meluluskan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang.

Berita Harian X