Khamis, 27 Julai 2023 | 9:58am
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Latih pengetua sekolah amalan terbaik dalam pengambil pelajar Tingkatan Enam

KUALA LUMPUR: Pengetua sekolah atau pengetua Kolej Tingkatan Enam yang terbabit dalam pengambilan pelajar Tingkatan Enam berkuat kuasa serta-merta perlu diberikan pendedahan optimum mengenai amalan terbaik berhubung proses pengambilan pelajar.

Langkah itu bagi memastikan proses pengambilan pelajar terbabit bukan saja lancar dan teliti dengan hanya pelajar layak diberi tawaran berkenaan, tetapi juga seimbang, saksama serta inklusif.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Ismi Arif Ismail, berkata sebelum pengambilan pelajar baharu Tingkatan Enam pada tahun depan, pengetua perlu diberi pendedahan dan latihan mencukupi berhubung tanggungjawab baharu mereka.

"Selaras usaha penjenamaan pengurusan semua Tingkatan Enam kepada Kolej Pra-Universiti, memang sudah sampai masanya kuasa dan pemilihan pelajar diberikan kepada pengetua. Ini sebagai persediaan bagi mereka mengambil tanggungjawab mempromosi dan memilih pelajar berpotensi mengikuti program prauniversiti sebelum melangkah ke universiti.

"Bagaimanapun, saya berpandangan garis panduan saja tidak mencukupi kerana pengetua perlu didedahkan kepada proses pengambilan pelajar kerana sebelum ini ia dikendalikan sepenuhnya KPM, jadi mereka perlu diberi latihan," katanya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini mengumumkan KPM memberi kuasa autonomi kepada pengetua Pusat Tingkatan Enam menjalankan proses pengambilan pelajar, berkuat kuasa serta-merta.

Langkah itu, katanya, bagi membolehkan pengetua membuat tawaran terus kepada pelajar berpotensi yang memerlukan peluang menyambung pengajian tanpa perlu menunggu tawaran daripada KPM seperti tahun sebelum ini.

Susulan itu, KPM kini dalam proses menyiapkan garis panduan pengambilan pelajar kepada Pengetua Pusat Tingkatan Enam yang diberikan kuasa autonomi berkenaan dan dijangka akan dapat disiapkan pada awal Ogos ini.

Ismi Arif berkata, latihan mencukupi kepada pengetua boleh dilakukan dengan menjalin kerjasama bersama rakan pengurusan daripada program matrikulasi di KPM dan juga Asasi di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam melengkapkan mereka dengan sistem pengambilan seperti di universiti sebelum melaksanakan kuasa autonomi berkenaan.

Selain itu, pakar juga melihat pelaksanaan kuasa autonomi ini dapat menangani ketirisan maklumat apabila pelajar mendapat maklumat tepat berkaitan kemasukan ke Tingkatan Enam dan juga subjek yang ditawarkan bersesuaian dengan minat, kelayakan serta halu tuju.

Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Komuniti-Industri, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Aziah Ismail pula berkata, sebelum ini pelajar lepasan SPM sukar mendapatkan maklumat jelas mengenai subjek bersesuaian diambil di Tingkatan Enam untuk digunakan bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam bidang diminati.

"Dengan mandat diberikan kepada pengetua dan pasukan mereka di sekolah ataupun Kolej Pra-Universiti, ini dapat menyahpusatkan proses pengambilan yang sebelum ini diuruskan KPM.

"Apabila pengetua mengambil alih, ini memudahkan pelajar mendapat maklumat pembelajaran di Tingkatan Enam dan cara ini ketirisan maklumat dapat dikurangkan," katanya.

Aziah yang turut terbabit bersama pasukannya dalam memberikan cadangan penubuhan Kolej Tingkatan Enam berkata, syarat kemasukan ke Tingkatan Enam juga perlu menepati satu kriteria standard bagi memastikan kualiti pendidikan Tingkatan Enam dapat dipertingkatkan sesuai usaha penjenamaan itu.

"Hanya pelajar lepasan SPM yang benar-benar layak saja ditawar menyambung pengajian di Tingkatan Enam, manakala mereka yang tidak layak dijuruskan ke pusat pengajian lain termasuk latihan vokasional," katanya.

Mengulas kebimbangan ibu bapa jika ekiranya kuasa autonomi itu disalahgunakan, Aziah berkata, isu ketelusan pengetua dalam pengambilan pelajar ke Tingkatan Enam dapat diatasi dengan garis panduan disediakan KPM nanti.

"Cadangan diberikan selaras Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bertujuan memberikan pengalaman pra-universiti kepada pelajar yang berada di Tingkatan Enam mendapat pengalaman sama dengan pelajar pra-universiti lain seperti pelajar asasi dan matrikulasi," katanya.

Usaha penjenamaan Tingkatan Enam sudah bermula lebih 10 tahun lalu apabila pada 2012 pentaksiran baharu STPM diluluskan dengan tempoh pengajian di Tingkatan Enam selama tiga semester atau satu tahun setengah.

Seterusnya pada 2014, KPM membenarkan pelajar Tingkatan Enam memakai pakaian kasual dengan beberapa syarat ditetapkan, dan pada 12 Julai lalu, Kolej Tingkatan Enam kini dikenali sebagai Kolej Pra-Universiti KPM dengan jawatan pengetua ditukarkan kepada pengarah.

Penjenamaan semula itu turut menyaksikan perubahan nama jawatan, iaitu guru penolong kanan kepada timbalan pengarah, manakala guru kepada pensyarah dan murid menjadi pelajar.

Ini juga sebagai usaha menarik minat lepasan SPM menyambung pengajian di Tingkatan Enam, selain mendedahkan pelajar kepada suasana pembelajaran di IPT.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, berkata itu, pemberian kuasa autonomi ini juga dilihat dapat membantu menangani masalah keciciran pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, terutama golongan miskin dan kurang berkemampuan.

Beliau berkata, tidak semua pelajar lepasan SPM berjaya menempatkan diri di IPT awam selepas SPM meskipun ada yang memperoleh keputusan baik dalam peperiksaan itu.

"Inisiatif KPM ini dapat memotivasikan dan menggalakkan pelajar yang layak menyambung pelajaran, sekali gus membendung keciciran pelajar," katanya yang turut menambah pengetua juga harus memastikan pengambilan pelajar seimbang daripada pelbagai latar belakang.

Beliau juga berharap dengan adanya kuasa autonomi itu, pengetua akan mencari inisiatif mengesan pelajar keluarga miskin yang layak memasuki Tingkatan Enam tetapi terhimpit dengan kekangan kewangan. - BERNAMA

Berita Harian X