GEORGETOWN: DAP mengumumkan tujuh muka baharu daripada 19 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, 12 Ogos ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata parti itu menampilkan calon wanita Phee Syn Tze, 38, di Sungai Puyu yang disandang Phee Bon Poh, 72, selama tiga penggal.
Turut dinamakan ialah Datuk Seri S Sundarajoo, 61, yang akan bertanding di DUN Perai, kerusi yang disandang Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, P Ramasamy.
Selain itu, barisan calon muka baharu yang dinamakan ialah Chee Yeeh Keen, 41, (Bagan Jermal), K Kumaran, 45 (Bagan Dalam) dan Woo Sze Zeng, 41, (Pulau Tikus).
Wong Yue Harng, 35, akan bertanding di Pengkalan Kota dan seorang lagi calon wanita, Tan Hooi Peng, 33, di Seri Delima yang disandang Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.
"Seperti saya katakan kita sudah berada di Pulau Pinang memasuki penggal keempat jadi kita ada tujuh muka baharu yang diletakkan sebagai calon selaras pendekatan membariskan muka baharu dan lama pada PRN kali ini.
"Kita ingin membawa nafas baharu dalam DAP dan proses pembaharuan berlaku pada setiap kali pilihan raya," katanya pada Majlis Pengumuman Calon DAP Pulau Pinang dan Kedah, hari ini.
Loke berkata, bekas ADUN Yeoh Soon Hin tidak dinamakan semula sebagai calon di Paya Terubong dan mengumumkan bekas EXCO negeri itu akan dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang.
Terdahulu beliau turut mengumumkan dua calon DAP yang masing-masing akan mempertahankan dua kerusi DUN Kedah iaitu Teh Swee Leong (Kota Darul Aman) dan Tan Kok Yew (Derga).
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DAP menyandang 19 kerusi DUN di Pulau Pinang, diikuti rakan komponen dalam PH, iaitu PKR dengan 14 kerusi dan AMANAH dengan dua kerusi, sama dengan BERSATU ketika masih bersama PH.
Barisan Nasional (BN) pula menyandang dua kerusi, kedua-duanya melalui UMNO, manakala PAS satu kerusi.